Luka Modric, yang mengemudi Crotia ke final Piala Dunia 2018, dinobatkan sebagai pemain terbaik lelaki oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), awal pagi tadi.
Pemain tengah Real Madrid itu menewaskan Ronaldo dan penyerang sensasi Liverpool Mohamed Salah untuk menyandang anugerah yang masuk tahun ketiga itu.
Beliau mendapat 29 peratus undi, manakala Ronaldo (19 peratus) dan Salah (11.2 peratus).
Tahun 2016 dan 2017 dimenangi Christiano Ronaldo dengan Lionel Messi ditempat kedua.
"Anugerah ini bukan untuk saya sahaja, tetapi juga rakan sepasukan di Croatia dan Real Madrid. Tanpa jurulatih, saya tidak akan memenanginya dan tanpa keluarga saya bukanlah pemain seperti hari ini," kata Modric di majlis anugerah yang dilangsungkan di London, seperti dilapor BBC.
Modric, 33, sebelum itu menyifatkan tahun ini sebagai "musim terbaiknya".
Manakan tidak, beliau menjadi pemain penting Real Madrid untuk memenangi Liga Juara-juara Eropah untuk tiga tahun berturut-turut Mei lalu dan membawa negaranya menempa sejarah ke final Piala Dunia dua bulan kemudian.
Berbeza dengan Ballon d'Or yang melibatkan wartawan sukan itu, Anugerah FIFA ditentukan melaui undi wakil media serta jurulatih dan kapten pasukan negara.
Malah jurulatih England, Gareth Southgate, yang tewas di tangan Croatia pada pusingan separuh akhir juga mengundi Modric.
Pengurus pasukan Croatia Zlatko Dalic menyifatkan Modric sebagai "pembantunya di atas padang".
"Dia adalah kapten pasukan saya, dia pemain terbaik pasukan dan dunia, dan dia layak mendapat anugerah ini," katanya.
Bulan lalu Modric turut menang anugerah pemain terbaik 2017-2018 Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Bagi kategori lain, Mohamad Salah tidak pulang dengan tangan kosong apabila menang anugerah Puskas bagi jaringan terbaik.
Jurulatih terbaik pula Didier Deschamps - yang membawa Perancis memenangi Piala Dunia 2018 - manakala pemain wanita terbaik jatuh kepada pemain Brazil dan kelab Orlando Pride, Marta Vieira da Silva.