Sebelum Imran Khan disahkan memenangi pilihan raya umum Pakistan pada 25 Jul lalu, bekas isterinya sudah melihat atlet kriket tersebut memang ditakdirkan bakal menjadi pemimpin negara berkenaan.
Justeru Jemima Goldsmith - sebelum ini dikenali sebagai Jemima Khan - segera mengucapkan tahniah.
Melalui ciapan di Twitter Jemima, 44, menyampaikan penghargaannya kepada Imran, 65, dengan gaya tersendiri.
"Dua puluh dua tahun kemudian, selepas penghinaan, halangan dan pengorbanan, bapa kepada anak saya akan menjadi perdana menteri Pakistan.
"Ia adalah pengajaran yang hebat tentang kesungguhan, keyakinan dan keengganan menerima kekalahan.
"Cabaran yang perlu dihadapai sekarang ialah mengingati alasan pertama mengapa dia menyertai politik. Tahniah," katanya.
Lama dulu Imran ialah anak yang dikurniakan kepada pasangan seorang jurutera awam, Khan Niazi, dan isterinya Shaukat Khanum. Keluarga keturunan Pashtun itu tinggal di Mianwali, Punjab.
Berkawan dengan bintang
Tidak seperti kisah sesetengah wira sukan yang membesar dalam kesukaran, Imran mendapat pendidikan yang baik sesuai dengan status keluarganya.
Kejayaan dalam sukan kriket membawa Imran menjadi pujaan jutaan orang, terutama di Pakistan yang begitu meminati sukan tersebut.
Pada 1992 Imran mengetuai skuad Pakistan menundukkan England dalam perlawanan akhir Piala Dunia.
Kejayaan juga membawa Imran ke dunia yang lebih bergemerlapan. Justeru dia digelar seorang playboy kerana hubungannya dengan ramai jelitawan.
Ketika itu bukanlah aneh untuk seseorang melihat gambar Imran bergaya dengan hanya berbaju tidur dan di atas katil.
Antara kenalannya ialah penyanyi Sting, Mick Jagger dan Goldie Hawn. Lebih daripada itu dia juga dikenali Puteri Diana.
Menantu Ratu Elizabeth itu malah berkunjung menemui Imran ketika dia melawat Pakistan pada 1997.
Pada Jun 1995 Imran berkahwin dengan Jemima - seorang wartawan, penerbit filem dan aktivis yang terkenal kerana kejelitaannya.
Imran dan Jemima bersama selama kira-kira sembilan tahun. Mereka bercerai pada 2004. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak, Sulaiman Khan, dan Qasim Khan.
Setahun selepas berkahwin, Imran menubuhkan parti politiknya, Tehreek-e-Insaf.
Dia menyertai pilihan raya beberapa kali dan mengalami pelbagai jatuh bangun sebelum memenanginya baru-baru ini.
Selepas berpisah dengan Jemima, Imran mengahwini wartawan kaji cuaca BBC, Reham Khan. Namun pernikahan itu hanya bertahan selama 10 bulan.
Pada Feb lalu dia sekali lagi disahkan berkahwin, kali ini dengan Bushra Manika, namun tidak banyak yang diketahui mengenai wanita itu.
Malah gambar yang tersebar juga menunjukkan wajah Bushra terselindung di sebalik purdah.
Menjelang majlis mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Pakistan, kini salah seorang pelakon terkenal negara itu, Gohar Rasheed, menggerakan kempen supaya Imran tidak mengetepikan Jemima.
"Menjadi harapan saya untuk meminta Kementerian Luar Pakistan menjemput Jemima Khan sebagai tetamu kehorman pada majlis mengangkat sumpah perdana menteri baru.
"Kita semua terhutang budi kepada wanita itu atas banyak sebab.
"Jemputan itu nanti menjadi penghargaan terbaik kita untuk sebuah persahabatan ikhas Pakistan," katanya.
Setakat ini belum ada tarikh muktamad untuk Imran mengangkat sumpah, namun partinya mendakwa ia akan dilangsungkan sebelum 14 Ogos ini.