Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Menjelang final, Salah tak tinggal puasa
Diterbitkan:  May 23, 2018 5:03 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

Menjelang perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah yang berprestij itu sudah tentu persiapan yang disusun untuk pemain Liverpool begitu rapi dan ketat.

Namun di sebalik perancangan yang teliti dan jerih itu bintang penyerang mereka, Mohamed Salah, tetap berpuasa seperti umat Islam lain di seluruh dunia.

Malah untuk Salah, dia mungkin terpaksa berlapar dahaga sehingga 18 jam.

Dikenali sebagai Muslim yang taat beragama pemain lincah dari Mesir itu dilaporkan berkata dia tidak bercadang untuk mengorbankan puasanya.

Menurut portal berita El-Ahly, berdasarkan faktor geografi tempoh masa untuk Muslim berpuasa di Eropah pada ketika ini lebih panjang berbanding di tempat lain.

Begitu juga dengan persiapan pasukan kebangsaan Mesir untuk menyertai Piala Dunia yang bermula di Russia pada 1 Syawal nanti.

Pengurus skuad kebangsaan Mesir Hector Cuper berkata Persatuan Bola Sepak Mesir menggunakan khidmat pakar untuk membantunya mempersiapkan pemain sepanjang tempoh Ramadan ini.

“Kami mengatur jadual pemakanan serta rehat semua ppemain dan berharap ia tidak akan memberi kesan yang banyak kepada mereka," katanya.

Cuper berkata dari segi kejurulatihan dia berdepan masalah kerana pemainnya perlu berpuasa sepanjang siang.

Namun pengurus dari Argentina itu mengakui pemainnya perlu berpuasa kerana ia adalah kehendak Islam.

"Saya tak boleh melarang mereka berpuasa," katanya.

Mengenai persiapan bersama The Kop, tidak dapat dipastikan apa susunan jadual dipersiapkan oleh Jurgen Klopp untuk Salah.

Untuk rekod selain Salah, seorang lagi pemain handalan Liverpool yang beragama Islam ialah Sadio Mane - seorang anak Imam dari Senegal.

Selain Salah dan Mane, Emre Can juga beragama Islam.

Liverpool akan berdepan dengan kelab gergasi dari Sepanyol, Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara pada jam 2.45 pagi Ahad ini (waktu Malaysia).

Bagaimanapun disebabkan perlawanan akhir itu akan berlangsung di Kiev, pemain beragama Islam terbabit mempunyai pilihan. Atas faktor bermusafir Islam memberikan kelonggaran buat mereka untuk tidak berpuasa pada hari yang berkenaan.

Mengikut keadaan semasa, matahari terbenam di ibu negara Ukraine itu sejurus sebelum 9 malam pada hari perlawanan akhir berkenaan.

Ia adalah kira-kira 50 minit sebelum pengadil meniupkan wisel sepak mula.

Mane sebelum ini pernah mengakui bahawa agama memainkan peranan penting dalam hidupnya.

Salah pula mengaku sepanjang Ramadan dia berdepan cabaran lebih getir kerana perlu menahan diri daripada lapar dan dahaga ketika menjalani latihan dua kali sehari.

"Apabila kamu berlatih dua kali sehari, tenaga kamu akan turun ketara pada sesi kedua.

"Tapi ini (puasa) sangat bermakna buat saya dan saya gembira dengan apa yang dilalui," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS