Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Anugerah hargai sukan permotoran
Diterbitkan:  Jan 25, 2018 6:37 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Promoter dan penganjur sukan permotoran, Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) dengan kerjasama Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) akan sekali lagi mengadakan majlis anugerah sukan permotoran berprestij pada Sabtu ini.

Untuk edisi kedua, Shell Malaysia merupakan penaja utama majlis anugerah berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata malam anugerah itu amat bermakna bagi mengiktiraf pencapaian pelbagai pihak dalam menjadikan sukan permotoran Malaysia hebat.

“Dalam kita berusaha menjadikan sukan permotoran Malaysia berjaya, kita juga perlu mengiktiraf usaha, pengorbanan dan pencapaian mereka yang terlibat. Memasuki tahun kedua, saya percaya majlis ini penting dalam kalendar sukan permotoran Malaysia dalam kita meraikan pencapaian tertinggi dan belajar daripada pengalaman dalam mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Kita berbesar hati mengalu-alukan Shell sebagai penaja utama majlis anugerah ini, kerana kedua-dua pihak berkongsi visi dalam memacu sukan permotoran Malaysia ke tahap lebih tinggi, dan meletakkan Malaysia lebih menonjol dalam peta sukan permotoran dunia,” katanya dipetik dalam satu kenyataan hari ini.

Malam anugerah itu akan menampilkan mereka yang mencapai kejayaan cemerlang pada musim 2017, daripada 13 kategori termasuk Formula Satu, MotoGP dan pelbagai perlumbaan dua roda dan empat roda.

Sementara itu, Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Iain Lo berkata anugerah permotoran itu bagi mengiktiraf bakat tempatan serta bakat baharu untuk mencapai pencapaian yang hebat.

“Sebagai penaja utama, ia satu penghormatan bagi kami mengiktiraf bakat tempatan melalui penajaan untuk anugerah ‘Shell International Rider of the Year’. Kami berharap penajaan anugerah ini menjadi galakan kepada bakat muda untuk terus bersinar dan berusaha mencapai tahap lebih tinggi.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada SIC dan Persatuan Permotoran Malaysia atas peluang ini untuk meneruskan sokongan dalam pembangunan industri sukan permotoran Malaysia,” kata Lo.

Bagi edisi kali ini, empat kategori anugerah baharu diperkenalkan iaitu ‘Most Improved Rider of the Year’; ‘Most Improved Driver of the Year’ dan Anugerah Media SIC-MAM-SAM (Media Elektronik Terbaik) bagi liputan berita terbaik media elektronik, serta anugerah khas – Anugerah Pembangunan Sukan Pemotoran KBS.

Kategori anugerah lain ialah ‘Best Team-Two wheels’; ‘Best Team-Four wheels’; ‘The Most Dynamic and Successful Team’; ‘National Rider of the Year’; ‘National Driver of the Year’, dan Anugerah ‘Malaysia Motorsports People's Choice’, yang menyaksikan peminat membuat undian bagi jaguh pilihan mereka melalui dalam talian.

Anugerah utama pada majlis berkenaan adalah anugerah ‘Shell International Driver’ dan ‘Shell International Driver Rider of the Year’.

Antara pemandu dan pelumba disenarai pendek bagi anugerah itu adalah Afiq Ikhwan Yazid (Lamborghini Super Trofeo), Alexander Charles Yoong Loong @Alex Yoong (Audi R8 LMS Cup) dan Mitch Gilbert (Audi R8 LMS Cup) bagi kategori perlumbaan empat roda.

Sementara Hafizh Syahrin Abdullah (MotoGP), Azlan Shah Kamaruzaman (ARRC) dan Muhammad Ibrahim Norrodin (KTM RC 390 Cup Asia) untuk kategori perlumbaan dua roda.

Malam anugerah berkenaan juga bagi meraikan tiga pihak baharu dalam Dewan Kemasyhuran Sukan Permotoran Malaysia atas sumbangan dan khidmat bakti mereka dalam pembangunan sukan permotoran di negara ini.

Di samping anugerah untuk pemandu dan pelumba, turut disediakan Anugerah Media SIC-MAM-SAM bagi Wartawan dan Jurugambar Terbaik, bagi mengiktiraf laporan berita dan gambar terbaik.-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS