Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hari ini menandatangani kontrak dengan bekas penyerang import Persija Jakarta, Indonesia, Bruno Lopez bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan Kelantan musim depan.
Presiden Kafa Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pemain yang berasal dari Brazil itu akan ditugaskan bagi mengemudi jentera serangan Kelantan.
"Kita bersetuju menandatangani pemain berusia 31 tahun itu semusim untuk digandingkan dengan pemain tempatan dan import yang lain," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Kafa, pemain, Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) dan penyokong di kediamannya di Kota Bharu hari ini.
Bruno Lopez pemain import keempat menyertai Kelantan selepas tiga pemain import lain itu Margaro Gomis (Perancis) bermain di posisi tengah, Cassio Francisco de Jesus dari Brazil bermain di bahagian pertahanan dan bekas pemain tengah UiTM FC, Do Dong-hyun (Korea Selatan).
Bibi Ramjani berkata pemilihan pemain import itu dilakukan berikutan pihaknya terpikat dengan rekod pemain berkenaan semasa beraksi dalam Liga Indonesia.
"Beliau (Bruno Lopez) mempunyai pengalaman dengan suasana bola sepak di rantau Asean dan Liga Malaysia apabila pernah bertemu bersama beberapa pasukan dari Liga Malaysia dalam perlawanan persahabatan mahupun kejohanan peringkat ASEAN,” kata Bibi Ramjani.
Mengenai hasrat untuk mengambil pemain import dari Filipina, Misagh Bahadoran, beliau berkata pemain tersebut menolak tawaran Kafa.
"Kita sudah mempunyai perancangan untuk menilai dua pemain import lain dari rantau ini untuk memenuhi kuota pemain import Asean,” katanya. -Bernama