Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Terens Puhiri tak angkuh disamakan macam Usain Bolt
Diterbitkan:  Oct 27, 2017 3:24 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Usain Bolt di padang bola? Bukan. Itu ialah pemain kelab Borneo FC, Terens Puhiri, yang tiba-tiba mencipta nama hasil gerakan pantasnya menyambar serta menjaringkan gol untuk pasukannya baru-baru ini.

Terens yang bermain di posisi penyerang untuk kelab dari Samarinda di Kalimantan Timur itu menjadi perhatian di seluruh dunia apabila membuat larian solo - dan pantas - dari kawasan sendiri hingga ke muka gawang lawan.

Dia melakukan gerakan itu semasa bertemu kelab Mitra Kukar dari Tenggarong, Kutai Kartanegara.

Perlawanan di Stadium Aji Imbut pada 23 Okt lalu itu berakhir dengan kemenangan berpihak kepada kelab Borneo FC dengan 4-0.

Kata Terens, 21, dia berasa bangga disamakan dengan Usain, namun dia segera merendah diri.

"Saya berjaya melakukannya hasil kerjasama rakan sepasukan, bukan jasa perseorangan," katanya.

Usain ialah atlet dari Jamaica yang kini memegang rekod dunia bagi acara 100 meter lelaki dengan catatan 9.58 saat.

 

 

Bulan lalu Leroy Sane yang beraksi untuk kelab Manchester City menjadi pemain terpantas di EPL dengan catatan kelajuan larian 35.48 km/sejam ketika kelab itu mengatasi Chelsea 1-0 di Stamford Bridge.

Sane mengalahkan rekod dibuat pemain Leicester, Jamie Vardy, yang membuat larian sepantas 35.44 km/sejam pada musim lalu.

Jika Sane, 21, menyertai acara pecut 100m kelajuan itu mampu membawanya hingga ke peringkat separuh akhir Sukan Olimpik 2016.

Namun tidak banyak maklumat yang diperolehi untuk larian Terens yang dilihat tidak kurang hebatnya.

Kata Terens kejayaan itu juga adalah hasil doa ahli keluarganya yang sentiasa mengharap dia mampu beraksi dengan cemerlang setiap kali turun padang.

"Buat masa ini saya mahu kekal fokus kepada membantu Borneo FC dan berjaya di Liga 1 Indonesia dan mungkin juga di Asia," katanya.

Gol pantas jaringan Terens itu ialah yang ketiga daripada empat gol buat kelab berkenaan.

Untuk rekod setakat hari ini kelab Borneo FC menduduki tempat kelapan liga, manakala Mitra Kukar berada dua anak tangga di bawahnya.

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS