Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
QPR didenda RM222j kerana lebih berbelanja
Diterbitkan:  Oct 25, 2017 4:34 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Selepas tiga tahun kelab Queens Park Rangers (QPR) akhirnya didapati bersalah melanggar peraturan Perbelanjaan Kewangan Adil (FFP) ditetapkan persatuan bola sepak Eropah.

Kelab yang kini bermain di liga bawah England itu dilaporkan didenda £40 juta (RM222 juta) pada musim mereka berjaya melangkah ke liga perdana.

Sebagai reaksi segera kelab penah dimiliki hartawan Malaysia Tan Sri Tony Fernandes itu mendakwa peraturan FFP itu "bercanggah dengan undang-undang".

QPR juga mendakwa tindakan yang dikenakan ke atas kelab berkenaan "keterlaluan".

Kelab berkenaan hari ini mengesahkan mereka akan membuat rayuan atas hukuman berkenaan.

Telegraph melaporkan jika hukuman itu kekal dua kelab lain di EPL juga mungkin berdepan nasib sama dengan QPR, iaitu Leicester City dan Bournemouth.

Leicester disiasat berhubung kejayaan mereka melangkah sempadan menyertai EPL pada musim 2013/14 manakala Bournemouth untuk musim 2014/15.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak England (EFL) Shaun Harvey berkata keputusan itu menunjukkan kesungguhan pihaknya memastikan setiap peraturan dipatuhi.

"Kami akan terus menguatkuasakan peraturan ke atas semua kelab untuk melindungi kepentingan semua pihak," katanya.

Tak terima hapuskan hutang

Ketua Pegawai Eksekutif QPR Lee Hoos pula menyatakan keputusan berkenaan mengecewakan mereka dan rayuan akan dibuat segera.

Denda RM222 juta itu dianggap terbesar dalam sejarah sukan setakat ini, mengatasi tindakan diambil ke atas pasukan Formula 1 McLaren yang pernah didenda £32 juta (RM177.8 juta) ekoran skandal digelar ‘Spygate' pada 2007.

Manchester City dan Paris Saint-Germain juga pernah didenda oleh kesatuan bola sepak Eropah tiga tahun lalu namun jumlah yang ditimpakan ke atas QPR dua kali ganda tinggi.

FFP digubal dalam usaha badan bola sepak Eropah memastikan setiap kelab berbelanja mengikut kemampuan.

Ia berkuat kuasa untuk liga di bawah EPL pada 2012. Melalui FFP sesebuah kelab dibenarkan mengalami kerugian tahunan sehingga £8 juta.

Kegagalan mematuhi had berkenaan - dengan mencatatkan kerugian lebih besar daripada itu - akan menyebabkan kelab terbabit dilarang melakukan sebarang perpindahan pemain.

Jika layak ke EPL, mereka akan didenda.

Jumlah denda dibuat berdasarkan skala kerugian di antara £8 juta hingga £18 juta. Sebarang jumlah lebih daripada itu akan dikenakan denda yang lebih berat.

QPR didakwa mengalami kerugian besar pada musim 2013/14 ekoran tersingkirnya mereka dari EPL walaupun berbelanja £41.1 juga untuk membeli sejumlah pemain termasuk penjaga gol kebangsaan Brazil, Julio Cesar dan bekas pemain MU, Park Ji-Sung.

Pemain lain yang dibawa ke QPR termasuk Andrew Johnson, Robert Green, Loic Remy, Yun Suk-Young, Jermaine Jenas dan Tal Ben Haim.

Selepas menjuarai perlawanan akhir play-off liga Championship QPR melaporkan kerugian hanya £9.8 juta manakala £60 juga lagi - dalam bentuk pinjaman - dihapuskan sebagai "barangan terkecuali" oleh Fernandes sebagai pemilik kelab ketika itu.

Beliau sudah melepaskan jawatan sebagai pemilik dan kini menjadi pengerusi bersama QPR.

Bagaimanapun badan pengelola bola sepak England enggan menerima tindakan berkenaan dan mendapati ia bercanggah dengan peraturan FFP.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS