Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kehangatan persaingan perlumbaan kereta berprestij, Formula Satu (F1) di Litar Sepang pada hujung minggu lepas akan tinggal sebagai memori terindah kepada para peminat sukan permotoran selepas 19 tahun penganjurannya di Malaysia.

Penganjuran terakhir Ahad lepas menyaksikan kedatangan penonton seramai 110,604 orang dalam tempoh tiga hari, sekali gus melepasi jumlah yang disasarkan iaitu lebih 102,000 penonton dan daripada jumlah itu, seramai 56,015 penonton hadir pada hari perlumbaan.

Edisi ke-19 perlumbaan berprestij itu mendapat sambutan menggalakkan khususnya daripada penonton asing, berbanding peminat permotoran tempatan,

"Pihak Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) menerima maklum balas yang cukup positif daripada agensi-agensi di luar negara mengenai pakej penjualan tiket yang dibuat. Namun bagi pasaran tempatan, agak kurang memberangsangkan dan seperti kebiasaannya, menunggu hingga ke saat akhir," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali kepada Bernama.

Penganjuran F1 di Sepang yang menyaksikan acara hebat serta mengujakan sejak 1999 itu berakhir penuh sentimental, mengukir sejarah litar perlumbaan yang mencabar bukan sahaja dari segi reka bentuk trek perlumbaan tetapi juga cuaca tidak menentu untuk meletakkan Malaysia di peta dunia dalam sejarah penganjuran Formula 1.

Bagaimanapun, ramai peminat yang mahukan kerajaan Malaysia mempertimbangkan semula penamatan penganjuran sukan berprestij, yang dilakukan atas faktor ekonomi.

Peminat tegar F1 dari Australia, Simon Anderson ketika ditemui Bernama melahirkan rasa hampa kerana kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak meneruskan GP F1 Malaysia bermula tahun hadapan.

"Ia berita sedih...Malaysia GP adalah yang termurah dalam kalangan negara Asia lain yang menganjurkan perlumbaan ini. Kerajaan perlu memikir semula keputusan ini," kata pemuda berusia 23 tahun dari Sydney itu.

Katanya penganjuran Malaysia GP sentiasa penuh dengan keterujaan dan adakalanya tidak dapat diduga kerana keadaan cuaca yang panas dan lembap.

Begitu juga dari sudut pandangan pemandu F1 sendiri, ada yang menyukai dan tidak kurang juga tidak menggemarinya kerana ia adalah perlumbaan paling mencabar dari segi reka bentuk litar dan faktor cuaca.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif F1 Chase Carey berkata, pihaknya berterima kasih kepada Malaysia kerana berjaya mengembangkan populariti sukan permotoran itu di rantau Asia Tenggara.

"Kami mengakui persaudaraan (mereka yang terlibat dalam) F1 akan kehilangan kehebatan Malaysia GP. Kami mempunyai sejarah hebat di sini," kanya yang menggantikan bekas supremo Bernie Ecclestone pada Januari lepas.

"Tetapi perubahan adalah sebahagian daripada hidup. Kami sebenarnya sangat gembira dengan peluang yang kami miliki di Asia secara umumnya. Kami mempunyai beberapa tempat yang menarik dan peluang baharu untuk terus mengembangkan sukan ini,” katanya.

Litar sepanjang 5.543 kilometer (km) itu mempunyai identiti tersendiri dengan lapan laluan lurus termasuk dua laluan panjang untuk memberi kelajuan tinggi.

Sementara lebar litar ini adalah 16 meter yang membolehkan peluang mencukupi untuk pelumba memotong.

Litar itu direka oleh arkitek dari Jerman, Hermann Tilke, dibuka secara rasmi pada 7 Mac 1999 oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad dan perlumbaan GP F1 Malaysia yang pertama diadakan di litar itu ialah pada 17 Oktober tahun sama.

Tilke juga mereka bentuk litar F1 di Shanghai (China), Shakir (Bahrain), Istanbul (Turki), Velencia (Sepanyol), Marina Bay (Singapura), Yas Marina (Abu Dhabi), Yeongnam (Korea Selatan), Greater Noida (Uttar Pradesh) dan Austin (Texas).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan penamatan kontrak penganjuran perlumbaan F1 tidak akan menjadikan litar berkenaan sebagai projek gajah putih kerana pelbagai sukan permotoran lain akan dibangunkan.

Dalam sidang medianya semasa menyaksikan perlumbaan terakhir F1 di Litar Sepang, beliau berkata kerajaan meletakkan matlamat untuk sukan permotoran lain dibangunkan bagi menyaksikan lebih banyak penyertaan warga tempatan sebagai pelumba.


Menurutnya, pihak kerajaan dan menerusi promoter perlumbaan, SIC, kini dalam proses menyusun acara lain untuk diadakan di litar itu.

Najib menegaskan kontrak yang terpaksa ditamatkan berikutan penurunan ketara hasil pulangan kepada negara berbanding kos penganjurannya, tidak bermakna penganjuran F1 tidak boleh dipertimbangkan pada masa depan, dengan syarat keadaan ekonomi adalah baik.

SIC sudah mempunyai beberapa perancangan untuk mengoptimumkan penggunaan kemudahan yang ada untuk aktiviti permotoran sama ada bertaraf antarabangsa mahupun tempatan.

Pengerusi SIC Tan Sri Azman Yahya berkata antara aktiviti yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ialah pemasangan lampu limpah bagi tujuan perlumbaan malam, dengan projek pemasangan dijadual siap sepenuhnya awal tahun hadapan.

Pada masa ini, SIC memberi tumpuan kepada penganjuran perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) yang akan berlangsung pada 27 hingga 29 Oktober ini.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS