Skuad Harimau Malaya tidak akan ke Pyongyang, Korea Utara Selasa depan selepas menerima arahan terbaru larangan perjalanan ke republik itu daripada kerajaan Malaysia.
Pasukan Malaysia sebelum ini dijadual menghadapi Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara yang akan berlangsung di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang pada Khamis depan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kerajaan menerusi kementerian luar melarang semua rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke republik itu berkuat kuasa serta merta hingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.
"Ini berikutan situasi tidak menentu di negara berkenaan kesan daripada siri ujian peluru berpandu dan skuad Harimau Malaya turut tidak terkecuali daripada larangan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.
Hamidin berkata, FAM juga telah diminta menghantar surat rasmi kepada AFC bagi memaklumkan perkara itu oleh Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor John,
"Surat rasmi kepada AFC itu telah pun dihantar tengah hari ini bagi memaklumkan bahawa skuad Harimau Malaya tidak dapat terbang ke Pyongyang berikutan larangan perjalanan terbaru daripada Kerajaan Malaysia.
"Lain-lain perkembangan berhubung status perlawanan berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh AFC," katanya.
TMJ sedia maklum
Menurut Hamidin, perkembangan terbaru itu telah dimaklumkan kepada Presiden FAM, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan baginda juga berkenaan dengan keputusan yang diambil.
Katanya, ketua jurulatih pasukan negara, Nelo Vingada juga telah mengubah program kem latihan pusat yang sepatutnya bermula di Johor Bahru pada 30 September ini ke Wisma FAM, Kelana Jaya pada 4 Oktober.
Ini sebagai persediaan menghadapi satu lagi perlawanan menentang Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 10 Oktober.
Kuala Lumpur dan Pyonyang telah menjalinkan hubungan dua hala sejak 1973, tetapi hubungan itu tegang awal tahun ini berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin diktator Korea Utara di Malaysia.
Kerajaan Malaysia juga sebelum ni mengecam pelancaran peluru berpandu nuklear dan balistik Korea Utara dengan menyatakan rejim komunis itu tidak mematuhi resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Keputusan larangan ke Korea Utara itu dibuat selepas seminggu pertemuan antara Tunku Ismail dan diplomat republik itu, Kim Yu Song menjelang perlawanan antara kedua-dua negara.
Dalam pertemuan itu, Tunku Ismail diberikan penghormatan istimewa untuk menggunakan ruang udara Korea Utara sepenuhnya jika ingin ke negara komunis itu.