Permintaan tinggi terhadap tiket perlawanan akhir Sukan Sea 2017 antara Malaysia dan Thailand telah mendorong ia dijual semula dengan harga tinggi.
Semakan Malaysiakini mendapati tiket yang cuma berharga RM21.20 telah dijual dengan harga sepuluh kali ganda.
Di laman jual beli terkenal Mudah.my, seorang individu yang menggunakan nama “Penjual Tegar” mengambil kesempatan meletakkan harga RM200 sekeping.
Dia mengiklankan tiket itu pada jam 4.31 petang, kira-kira 5 jam 30 minit selepas kaunter tiket dibuka di Stadium Shah Alam pada jam 11 pagi tadi.
Dia mendakwa terdapat pihak lain yang menjual lebih mahal daripadanya.
“Ada dua tiket lebih, tengok (harga) market sampai 250 (ringgit),” tulisnya.
Beliau bagaimanapun menunjukkan gambar sekurang-kurangnya sepuluh keping tiket diletakkan di atas meja.
Ribuan peminat dan penyokong bola sepak tempatan berkampung di Shah Alam sejak 10 malam tadi bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir bola sepak esok malam, walaupun kaunter jualan hanya dibuka jam 11 pagi tadi.
Kecoh di stadium
Tiket untuk penyokong tuan rumah dijual di Stadium Shah Alam manakala tiket untuk penyokong Thailand dijual di Stadium Melawati. Tiada jualan atas talian.
Suasana juga kecoh apabila orang ramai terpaksa beratur panjang selama berjam-jam dan belum tentu berpeluang membelinya. Tidak terkecuali yang bermalam di stadium sejak malam tadi.
Sementara itu, The Star pula melaporkan seorang individu dikenali sebagai Rizki menjual sekeping tiket dengan harga RM100.
Dia mempunyai 100 keping tiket hasil beratur sejak pukul 10 pagi tadi di kaunter jualan.
Perlawanan akhir akan berlangsung di Stadium Shah Alam.
Malaysia mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas menundukkan Indonesia 1-0 pada aksi separuh akhir pada Sabtu malam manakala Thailand mara setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Myanmar.
Stadium Shah Alam boleh memuatkan kira-kira 80,000 penonton.
Tiket untuk VIP
Bekas pengurus bola sepak Selangor Zakaria Rahim mengganggarkan, sebanyak 10,000 tiket disediakan kepada penyokong Thailand, 10,000 tiket percuma dan tajaan, manakala 10,000 lagi dikosongkan untuk zon penampan keselamatan.
"Maka tinggallah 50,000 kerusi bertiket untuk dijual.
"Ambil sikap bersangka baik, katalah 60,000 dijual kepada rakyat Malaysia di 20 kaunter, bererti 1 kaunter ada 3,000 tiket," katanya.
Menulis di Facebooknya, Zakaria berkata malam esok pasti akan ada golongan kenamaan (VIP) yang duduk di kerusi empuk di dalam stadium tanpa bersusah payah beratur membeli tiket.
"Esok malam pula, pasti akan ada golongan kaya, pemimpin politik baik yang kerajaan mahupun yang membangkang akan dijemput hadir dan duduk di kerusi empuk stadium dengan baju batik atau cantik sambil berselfie kerana pertama kali masuk ke stadium.
"Sepanjang perlawanan pula sembang hal politik, bisnes, main telefon. Bila gol acah-acah melompat.
"Waktu rehat dibawa ke bilik VIP berhawa dingin untuk makan dan minum dan duduk semula selepas separuh masa kedua, dah 15 minit mula sibuk bersembang 'hal negara'," katanya.