Nasib malang menimpa skuad bola sepak Pahang apabila jurulatihnya, Dollah Salleh dihukum gantung daripada terlibat dalam aktiviti bola sepak selamat 18 bulan.
Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Tatatertib FAM susulan tindakan bekas jurulatih kebangsaan itu mengkritik mutu pengadilan melibatkan liga Malaysia.
Pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, Dollah melakukan kesalahan tersebut selepas perlawanan antara skuad Tok Gajah bertemu Felda United dalam aksi Liga Super, 1 Julai lalu di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.
Dalam kenyataan media hari ini menurutnya, tindakan itu melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 88 Statut FAM akibat tindakannya yang membuat kenyataan di ruangan media berhubung isu yang melibatkan FAM tanpa kebenaran.
"Dan secara terus atau inuendo boleh memberikan impak yang negatif ke atas nama baik dan reputasi FAM, selain daripada mengecam mengenai urusan pentadbiran halehwal FAM (kepengadilan) atau pengelolaan liga Malaysia selepas perlawanan berkenaan.
"Penggantungan selama 18 bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bolasepak kelolaan atau anjuran FAM dan didenda sebanyak RM30,000," katanya yang mempengerusikan jawatankuasa itu pada 20 Julai lalu.
Terdahulu, Dollah menyatakan kekecewaannya dengan mutu pengadilan pada aksi tersebut dan beranggapan ia boleh menghancurkan bola sepak negara jika terus dibiarkan.
"Saya tidak kisah jika kalah tetapi mutu pengadilan malam ini menghampakan, seolah-olah perlawanan ini sudah diatur. Bukan disebabkan sepakan penalti sahaja tetapi banyak keputusan pengadil memihak kepada Felda United yang tidak sepatutnya diberikan.
"Dari segi sepakan penalti, ia tidak patut diberikan kepada Felda United manakala situasi kita sepatutnya mendapat sepakan penalti, tidak pula diberi.
"Pahang banyak kali menghadapinya sebelum ini tetapi kita bersabar dan mendiamkan diri... kali ini saya mahu luahkan demi bola sepak negara," katanya yang tidak gentar jika dikenakan tindakan susulan mengkritik mutu pengadilan.
Sementara itu Baljit berkata, jawatankuasa telah memutuskan untuk menggunapakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM di mana Defendan dikenakan penggantungan selama 9 bulan pertama dahulu (dari 21 Julai 2017 hingga 20 April 2018).
Selain itu jelasnya, baki 9 bulan kedua (21 April 2018 hingga 20 Januari 2019) adalah ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kepada kelakuan baik defendan.
"Jika kesalahan yang sama berulang dalam tempoh 12 bulan selepas penggantungan pertama, maka hukuman penggantungan 9 bulan kedua akan dikuatkuasakan serta-merta terhadap Defendan," jelas beliau.
Bagaimanapun, nasib jurulatih 53 tahun mungkin berubah apabila jawatankuasa itu membenarkan hukuman tersebut dirayu.