Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dituntut membayar AS$14,000 atau hampir RM60,000 tunggakan gaji kepada bekas jurulatih skuad The Red Warriors, Velizar Emilov Popov.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Suprintenden Md Dali Wahab, berkata tuntutan pengadu diterima sepenuhnya dan Kafa dikehendaki melunaskan bayaran itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan berkenaan dibuat.
Popov sebelum ini dipilih Kafa sebagai pengganti K Devan pada pertengahan Mei tahun lalu bagi membimbing pasukan Kelantan dan mengakhiri tugasnya, penghujung musim lalu.
Selain itu Md Dali mengumumkan, Kafa juga dikehendaki membayar tunggakan gaji kepada tiga pemain bernilai RM130, 486.87 melibatkan gaji Mohammad Faizal Abu Bakar berjumlah RM44,000, Tuan Muhamad Faim Tuan Zainal Abidin (RM9,000) dan Khairul Izuan Rosli (RM77,486.87).
Perkara itu diumumkan melalui kenyataan media selepas Jawatankuasa Status FAM bermesyuarat hari ini.
Sementara itu, jawatankuasa sama juga membuat keputusan berhubung penamatan kontrak secara sebelah pihak melibatkan PKNP FC dan tiga pemain.
FAM menerima sepenuhnya tuntutan Mohamad Amirul Asraf Mohd Noor dan PKNF FC dikehendaki membayar pampasan berjumlah RM72,000 dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan keputusan tersebut.
Tuntutan Muhammad Hafizuddin Harun terhadap PKNP FC berhubung penamatan kontrak secara sebelah pihak juga diterima sepenuhnya badan induk bola sepak negara sekali gus mengarahkan PKNP FC membayar pampasan gaji berjumlah RM60,000.
Bagaimanapun, tuntutan Mohd Afiq Amsyar Salamat terhadap kelab sama ditolak namun tiada sebarang penjelasan mengenai alasan penolakan tersebut.