Pemain-pemain bola keranjang akan dibenarkan memakai penutup kepala atas alasan agama selepas badan pentadbir sukan itu Fiba hari ini meluluskan peraturan baru yang akan dikuatkuasakan pada 1 Oktober depan.
“Peraturan baru ini diperkenalkan susulan kod pemakaian di beberapa negara, yang menggesa kepala atau seluruh badan ditutup, tidak selari dengan peraturan pakaian kepada sedia ada,” kata Fiba dalam kenyataannya.
Larangan itu diperkenalkan 20 tahun lalu atas alasan keselamatan.
Pasukan wanita Qatar pada 2014 menarik diri daripada Sukan Asia di Korea Selatan selepas tidak dibenarkan bertudung dalam gelanggang.
Fiba telah memulakan semakan dan tempoh percubaan selama dua tahun bermula September 2014 untuk membenarkan pemakaian baru itu.
Persatuan itu bagaimanapun mensyaratkan ia mesti berwarna hitam atau putih atau menggunakan warna dominan pasukan serta sama dengan anggota pasukan lain.
Ia tidak boleh menutup muka, lapor Reuters.
Sukan-sukan lain, termasuk bola sepak, telah pun membenarkan pemain-pemain menutup kepala ketika pertandingan.