Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat keputusan melantik jurulatih dari luar negara untuk melatih jurulatih tempatan dalam Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan kepada media hari ini.
"Mereka akan pergi ke setiap negeri untuk melatih dan memberi tunjuk ajar kepada jurulatih-jurulatih bagi melonjakkan mutu pengetahuan dan pengadilan bola sepak jurulatih tempatan," katanya.
Pendekatan itu dilihat sebagai salah satu perkara baru yang dibuat oleh Tunku Mahkota Johor selepas dilantik sebagai bos FAM sejak bulan lalu.
Selain itu Hamidin berkata, badan induk bola sepak negara juga akan mengadakan mesyuarat bersama para pengadil dijadualkan esok mengenai penggunaan teknologi Video Pembantu Pengadil (VAR).
Difahamkan, Pengerusi Jawatankuasa FAM, Subkhiddin Mohd Salleh dan pihak konsultan akan memberi penerangan mengenai teknologi VAR pada sidang media selepas mesyuarat yang berlangsung di Johor Bharu itu.
Teknologi VAR adalah salah satu kaedah terkini yang diperkenalkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa baru-baru ini bagi menambahbaik sistem dan mutu pengadilan bola sepak.