Malaysia sudah menunggu selama suku abad untuk detik saat wira negara menjulang semula Piala Thomas, lambang keagungan pasukan badminton lelaki dunia.
Pasukan yang ditunjangi adik beradik Sidek telah mencipta keajaiban apabila membawa kembali piala berprestij itu ke pangkuan Malaysia pada 1992 selepas mengalahkan Indonesia 3-2 pada final di Stadium Negara.
Sejak itu, Malaysia gagal mengulangi kejayaan itu.
Bekas presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Elyas Omar, yang menerajui era kegemilangan sukan badminton ketika Malaysia kali terakhir merangkul piala itu, berpendapat pemain sekarang banyak memiliki kekurangan berbanding dengan skil permainan.
Dalam temu bual dengan Bernama, beliau berkongsi rahsia di sebalik kejayaan Malaysia pada edisi 1992 itu.
"Karakter...ini adalah paling penting untuk pemain memilikinya untuk berjaya. Karakteristik penting untuk setiap pemain seperti dedikasi, pemikiran yang baik, rasa tanggungjawab, darjah kecerdasan (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan tahap persepsi (PQ) serta bagaimana mereka melihat diri mereka dan juga pemain lain.
"Saya bertindak sebagai ahli psikologi dengan berbicara dengan setiap pemain mengenai prestasi masing-masing, bagaimana mereka akan beraksi dan mempersiapkan pemikiran mereka dan bukan hanya meletakkan mereka dalam gelanggang semata-mata.
"Watak saya sebagai seorang ayah...memberi motivasi dan juga kaunseling serta menjaga kebajikan mereka kerana sukan adalah mengenai hubungan antara manusia, kata Elyas, yang menjadi presiden BAM dari tahun 1985 hingga 1993.
Katanya, sebaik perlawanan bermula, beliau tidak akan berada di tepi gelanggang kerana pemain akan rasa tertekan melihat kehadirannya.
"Presiden perlu memainkan peranan itu kerana dia adalah orang nombor satu dalam sukan itu," katanya.
Mengimbau kembali final Piala Thomas 1992, Rashid Sidek melakukan kejutan untuk meletakkan Malaysia di hadapan apabila menewaskan Ardy Wiranata 15-10, 15-4 sebelu"m Indonesia menyamakan kedudukan menerusi beregu Rudy Gunawan/Eddy Hartono.
Beregu Indonesia itu mengalahkan Razif/Jalani Sidek 15-9, 9-15, 15-3.
Campur tangan
Elyas berkata Foo Kok Keong mengubah laluan untuk Malaysia apabila mengalahkan Alan Budi Kusuma dalam acara perseorangan kedua dengan 15-6, 15-12 sebelum beregu Cheah Soon Kit/Soo Beng Kiang mengesahkan kemenangan negara.
Beregu negara itu menewaskan gandingan Ricky Subagja/Rexy Manaiky dalam pertarungan sengit 15-12, 10-15 dan 15-8.
Mengimbas kembali strategi yang diguna pakai ketika itu, Elyas berkata beliau sendiri campur tangan dalam menentukan barisan pemain dan menasihatkan jurulatih mengenai keupayaan setiap pemain pada kejohanan itu.
Elyas, 80, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur dan bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), turut menjadi ketua kontinjen negara pada Sukan Olimpik Barcelona pada 1992.
Pada tahun tersebut, Malaysia merangkul pingat pertama Sukan Olimpik iaitu pingat gangsa menerusi beregu gandingan adik-beradik Razif/Jalani Sidek.
Mengenai pembangunan bakat sukan badminton, katanya, lebih banyak kejohanan domestik di peringkat bawahan seperti kejohanan antara sekolah, daerah dan negeri perlu dianjurkan bagi memberi peluang untuk pemain muda menampilkan bakat masing-masing.
"Banyak bakat terpendam dalam negara dan kita tidak melakukan usaha untuk menemukan bakat sedemikian. Saya fikir sejak kita menghentikan kegiatan perlombongan bijih timah, kita juga menghentikan usaha cari gali pemain kita," katanya.
-Bernama