Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Kata-kata 'makan dalam' TMJ
Diterbitkan:  Feb 10, 2017 2:43 PM
Dikemaskini: Oct 3, 2018 9:46 AM

Tanpa berlapik - tetapi kadang-kadang berkias - Tengku Mahkota Johor menceritakan kemungkinan yang berlaku jika beliau menjadi presiden FAM.

Ketika ditanya apakah yang akan dilakukannya apabila memasuki bangunan FAM jika dipilih sebagai presiden badan itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membayangkan beliau akan terkejut melihat keadaan di situ.

"Tidak hairanlah neraka kosong. Semua ada di sini," katanya.

Bagaimanapun pewaris takhta kesultanan Johor itu pantas menjelaskan, kenyataan beliau itu hanya gurauan saja.

Ditanya pula mengenai perbezaan antara beliau dan individu lain yang turut bertanding jawatan presiden FAM, Tunku Ismail berkata, kesemua calon adalah "orang yang baik", berbeza dengan dirinya.

"Mereka (calon lain presiden FAM) adalah orang yang baik. Saya seorang yang angkuh.

"Tetapi perbezaan di antara kami, ialah mereka memerlukan wang, kedudukan dan kemudian membunuh impian anda.

"Saya pula mempunyai sumber untuk memenuhi impian anda," kata Tunku Ismail yang turut dikenali dengan gelaran TMJ.

Kerusi presiden FAM akan kosong pada 25 Mac ini apabila penyandangnya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, memutuskan untuk berundur daripada jawatan itu.

Setakat ini ada empat nama layak untuk bertanding. Selain Tunku Ismail, mereka ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Ketua Penerangan Umno yang juga bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa, dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

Bagaimanapun setakat ini hanya Annuar sudah menghantar borang penerimaan pencalonan.

Bagaimanapun untuk rekod, pada 31 Januari lalu Annuar digantung jawatannya sebagai pengerusi Mara bagi memudahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dana di agensi kerajaan itu.

Pada Isnin lalu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi perkenan kepada Tunku Ismail menyertai persaingan itu bersama amanat supaya puteranya itu dapat mengubah "air muka bola sepak" Malaysia.

Terdahulu pada 12 Januari, Tunku Ismail mendakwa Annuar menggunakan kedudukannya di Mara dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk mendapatkan penajaan bagi pasukan bola sepak Kelantan.

Annuar kemudian menafikan dakwaan tersebut.

Berikut merupakan transkrip penuh wawancara Tunku Ismail yang disiarkan dalam dua siri di laman Facebook Johor Southern Tigers:

Wartawan: Apa yang Tunku fikirkan tentang keadaan semasa sekarang?
TMJ: Berkenaan apa?

Wartawan: Berkenaan FAM dan beberapa individu yang mahu menjadi presiden?
TMJ: Oh, maksud anda proksi Menteri Belia dan Sukan? Saya rasa cukup menyedihkan untuk melihat yang kami perlu bergaduh dengan badan induk dan beberapa individu hanya untuk menyelamatkan bola sepak.

Wartawan: Apa nasihat Tunku kepada penyokong bola sepak?
TMJ: Fikir dengan bijak, sepertimana seorang jeneral yang berkhidmat dalam Indian Army pernah memberitahu saya: "Jangan memandang rendah kuasa seorang ahli politik yang terdesak, yang sanggup melakukan atau mengatakan apa sahaja untuk mengekalkan kedudukan mereka dan memanipulasi minda yang tidak bersalah untuk kepentingan peribadi mereka sendiri".

Wartawan: Jadi apa rancangan Tunku?
TMJ: Seorang anggota special forces tidak akan mendedahkan rancangannya. Melainkan anda seorang berpangkat kehormat.

Wartawan: Siapa yang Tunku rasa akan menang pemilihan FAM nanti?
TMJ: YB Khairy Jamaluddin atau proksi menteri.

Wartawan: Tunku?
TMJ: Saya mana ada peluang nak lawan orang politik. Saya datang dari negeri kecil, dan jaga kelab kecil.

Wartawan: Jadi adakah Tunku akan terima percalonan tersebut?
TMJ: Buat masa ini tidak terfikir apa-apa lagi kerana saya sedang sibuk bekerja keras untuk beli sebuah kelab bola sepak luar negara, kemungkinan di Eropah kalau ada rezeki dan sibuk menjalankan tugas di Johor. Dan saya ini orang angkuh, mana layak. Yang layak hanya orang-orang politik, menteri yang jujur, bijak tentang bola sepak dan berintegriti.

Wartawan: Terima kasih Tunku.
TMJ: Terima kasih


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS