Hasrat Selangor untuk mengekalkan rentak kemenangan berkecai, sebaliknya skuad Gergasi Merah 'diketik' Semut Merah pada aksi ketiga Liga Super, sebentar tadi.
Pertemuan yang diibaratkan sebagai pasukan 'adik-abang' di Stadium Shah Alam itu berkahir dengan keputusan 5-3 sekali gus kemenangan sulung skuad PKNS FC, awal musim ini.
Kemenangan pasukan berstatus kelab bimbingan E Elavarasan itu dibantu dengan jaringan hatrik penyerang import mereka, Patrick Ronaldinho Wleh.
Selangor tampil mendahului jaringan seawal minit pertama perlawanan melalui rembatan kencang Syahmi Safari untuk kedudukan 1-0.
Namun, Ronaldinho berjaya menyamakan kedudukan untuk melegakan penyokong mereka 20 minit berselang sebelum kegembiraan bertambah dengan gol Safee Sali di minit ke-25.
Berpunca daripada sepakan bebas oleh Nazrin Syamsul Bahri, bekas penyerang JDT itu menyempurnakan jaringannya melalui tandukan menewaskan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.
Sejurus itu, giliran anak buah P Maniam pula kembali bangkit menyamakan kedudukan melalui pemain import sandaran mereka, Francis Forkey Doe tiga minit berselang.
Kedudukan 2-2 memberi tekanan dan saingan sengit untuk kedua-dua pasukan menjelang berakhirnya separuh masa pertama.
Bagaimanapun, tuah lebih memihak skuad The Red Ants yang kembali mendahului pada minit ke-43 melalui gol kedua Ronaldinho.
Sementara itu, kembali dari bilik persalinan untuk 45 minit kedua. PKNS FC terus mempamerkan kemaraan mereka untuk kedudukan 4-2 melalui gol Matias Hadwa.
Jaringan pemain dari Palestin pada minit ke-47 itu dilihat tidak mematahkan semangat pasukan lawan, skuad Gergasi Merah mara merapatkan jurang gol.
Hantaran cantik Juliano Mineiro berjaya disudahkan Francis Forkey Doe untuk gol ketiga Selangor.
Kebangkitan Selangor nampaknya terlewat apabila Ronaldinho tampil melengkapkan jaringan hatriknya melalui gol kelima PKNS FC tiga minit kemudian.
Keputusan 5-3 kekal sehingga wisel penamat, namun ada insiden kad merah menimpa pasukan Selangor apabila pemainnya Raimi Md Nor dilayangkan kad kuning kedua.
Keadaan itu menyukarkan skuad pelawat untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan dan terpaksa berpuas hati dengan kekalahan pertama mereka selepas tiga perlawanan.
Di pihak PKNS FC pula, kemenangan itu bakal dijadikan pencetus semangat selepas tewas pada dua perlawanan terdahulu.