Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa penerima Anugerah Puskas Fifa 2016, Mohd Faiz Subri bakal dipergunakan pihak-pihak tertentu demi mencapai populariti.
"Saya ucapkan tahniah kepada Faiz dan buat masa yang sama saya kasihan kepada dia kerana saya tahu selepas ini ada sesetengah pihak media dan menteri-menteri yang akan cuba menggunakan dia untuk populariti mereka.
"Apa-apa pun saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau," katanya dalam temubual yang disiarkan di Facebook JDT, hari ini.
Beliau turut mengingatkan Faiz supaya tidak berasa selesa dengan pencapaian tersebut kerana banyak lagi perlu dilakukan untuk bola sepak tempatan.
"Jangan berasa selesa berada di langit dengan pencapaian tersebut hingga mengabaikan bola sepak negara kita untuk enam bulan seterusnya. Itu sahaja.
"Banyak lagi kerja yang perlu kita lakukan kerana pencapaian bola sepak kita masih jauh ketinggalan. Perkara yang kritikal dalam kehidupan adalah masa. Itu yang saya ingin ingatkan. Tetapi ada 60 peratus yang faham dan 40 peratus yang tidak faham kenyataan saya," tambah Tengku Mahkota Johor (TMJ) itu.
Selain itu beliau turut menyatakan rasa sedih dengan situasi yang berlaku kepada pasukan bola sepak Selangor susulan krisis kepimpinan yang berlaku dalam Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Katanya, ia kerana Selangor pasukan legenda dan kaya dengan sejarah.
"Adalah penting untuk pasukan kuat seperti Selangor, Kedah dan Pahang berada dalam pertandingan liga ini," ujarnya.
Sementara itu mengulas persiapan skuad Harimau Selatan menjelang musim 2017 liga Malaysia, Tunku Ismai pihaknya mengambil pendekatan berjimat dalam urusan melibatkan kewangan JDT.
Menjawab soalan wartawan, TMJ mengakui beliau sedang berjimat walaupun ramai pemain baru dan pemain luar negara yang di bawa masuk ke skuad JDT.
"Ya, saya memang sedang bajetlah ni. Tetapi saya terbeli dengan tidak sengaja," katanya disusuli ketawa.
"Kita dapat jual Martin Lucero dalam RM11 Juta, Jorge Pereyra Diaz dan juga kami mempunyai Yayasan JDT. Ini satu tanda positif yang kelab ini boleh membuat duit.
"Untuk tahun 2017, kita akan ada barangan-barangan rasmi daripada ejen yang dilantik. Ini semua akan dimaklumkan oleh Presiden kita, Tunku Tun Aminah kepada penyokong," jelasnya.
Tunku Ismail juga meletakkan sasaran agar skuad JDT sekurang-kurang berada pada kedudukan empat terbaik dalam saingan Liga Super dan layak ke suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia.
"Lebih dari itu satu bonus untuk kami. Saya berharap juga melakukan yang terbaik di saingan ACL. Jika tidak kita masih berada dalam saingan Piala AFC.
"Untuk berada di dalam saingan AFC untuk tiga tahun berturut-turut adalah satu pencapaian tertinggi dan saya hargai pencapaian tersebut," katanya.