ADS
mk-logo
Sukan
Hampir 2.5 juta tonton jaringan Faiz Subri di Youtube

Hanya berbaki kira-kira sebelas jam sebelum keputusan Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016
diumumkan, video jaringan ajaib Mohd Faiz Subri terus mendapat perhatian dengan merekodkan hampir 2.5 juta tontonan di laman YouTube.

Setakat 1.30 tengah hari ini, video tersebut yang pertama kali dimuat
naik oleh FIFATV pada 21 Nov tahun lepas ditonton 2,404,506 pelayar dari seluruh dunia.

Jumlah penonton jaringan gol Mohd Faiz itu jauh meninggalkan video aksi jaringan Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Video aksi Marlone ketika menjaringkan gol melalui sepakan gunting ketika membantu pasukannya Corinthians mencatat kemenangan 6-0 ke atas Cobresal pada aksi Copa Libertadores, di tempat kedua dengan jumlah tontonan 1,515,215 kali.

Aksi memukau Daniuska menggelecek tiga pemain ketika mewakili negaranya menentang Colombia pada Kejohanan Sudamericano Wanita Bawah 17 Tahun di tempat ketiga dengan jumlah tontonan 1,173,508.

ADS

Peminat bola sepak masih berpeluang mengundi jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA, www.fifa.com sebelum nama pemenang diumumkan pada Anugerah Puskas FIFA di Zurich, Switzerland pada jam 6.30 petang Isnin waktu tempatan (1.30 pagi Selasa waktu Malaysia).

Anugerah Puskas dinamakan bersempena penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas yang menjulang tiga gelaran Eropah bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.

Sejak pertama kali diperkenalkan pada 2009, anugerah yang bertujuan
mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun telah dimenangi beberapa bintang dunia termasuk Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez. -Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS