ADS
mk-logo
Sukan
FAM bawa anak, isteri Faiz terbang ke Zurich
Diterbitkan:  Dec 15, 2016 4:15 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

FAM hari ini mengumumkan tajaan tiket penerbangan untuk isteri dan dua anak pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri, untuk ke Zurich, Switzerland bagi menghadiri majlis Anugerah Bola Sepak Fifa 2016 pada 9 Januari depan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata tajaan tiga tiket penerbangan kelas perniagaan kepada isteri Norzawanis Hashim, 29, serta Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan, 8 bulan, dibuat susulan kejayaan pemain itu mengharumkan nama negara.

Katanya, Faiz selaku tiga calon akhir Anugerah Puskas 2016 itu akan ditaja sepenuhnya oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

"(Tajaan itu ) sebagai menghargai kejayaan Faiz mencipta sejarah bergelar pemain bola sepak pertama dari Malaysia tercalon bagi anugerah tahunan gol tercantik di dunia ini, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

"Selain itu Faiz dan keluarga akan ditemani Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah untuk bersama-sama ke majlis anugerah itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

ADS

Faiz menjadi calon akhir bersama dua pesaing lain iaitu Marlone (Brazil) dan Daniuska Rodriguez, pemain skuad B-17 wanita Venezuela.

Tambah Hamidin, FAM juga sudah menerima surat rasmi daripada Fifa berhubung butiran lengkap aktiviti dan program sepanjang majlis anugerah berkenaan.

Menurutnya, Faiz bersama isteri dan dua anaknya serta Afandi dijadual akan berlepas dari Kuala Lumpur pada Ahad, 8 Januari jam 10.15 pagi dan dijangka tiba semula di tanah air pada Rabu, 11 Januari.

ADS

"FAM sekali lagi mengucapkan selamat maju jaya kepada Faiz, dan buat para peminat bola sepak di seluruh dunia, khususnya di Malaysia, teruskan mengundi di fifa.com/Puskas sehingga 9 Januari bagi memastikan satu lagi sejarah akan tercipta," katanya.

[Klik di sini untuk mengundi]

Sebelum ini Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah mengumumkan sumbangan beliau kepada Faiz sebagai menghargai jasa pemain tengah skuad Harimau Kumbang itu melakar sejarah negara.

Tunku Ismail yang juga penaung Persatuan Pemain-pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), menyumbang RM15,000 kepada Faiz yang kini berpeluang besar memenangi Anugerah Puskas Fifa 2016. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS