ADS

Semua mahasiswa dan warga kampus disaran untuk memberikan undian kepada Mohd Faiz Subri, pemain pasukan Pulau Pinang yang memberikan sepakan lencongan menakjubkan, bagi membolehkan beliau memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Abdul Malek Abdul Karim berkata pencapaian beliau patut dibanggakan seluruh rakyat Malaysia kerana anak kelahiran Pida 6, Ayer Hitam, Jerlun itu tersenarai antara 10 penjaring tercantik melalui tontonan tertinggi di YouTube untuk Anugerah Puskas.

"Sehingga kini, video rasmi pencalonan Mohd Faiz mencecah 1.22 juta tontonan sejak mula dimuat naik oleh FIFA," katanya selepas menerima kunjungan Mohd Faiz di UUM, Sintok hari ini.

Ketika aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Februari lepas, gol hasil sepakan percuma yang dilakukan Mohd Faiz dari jarak 35 meter melencong masuk ke gawang gol ketika membantu Pulau Pinang menang 4-1 ke atas Pahang.

Abdul Malek berkata Mohd Faiz ketika ini mendahului sembilan pemain lain antaranya dari Brazil, Argentina, Sepanyol, Afrika Selatan, Finland, Venezuela dan Wales serta yakin Mohd Faiz mampu meraih anugerah itu.

ADS

Sementara itu, Mohd Faiz berkata kehadirannya ke kampus UUM bagi melahirkan ucapan terima kasih atas sokongan dan undian yang diberikan selama ini oleh seluruh warga kampus.

Mohd Faiz turut menyeru kepada seluruh pelajar dan rakyat di negara ini untuk membuat undian menerusi pautan ini.

Pada pertemuan itu, Mohd Faiz turut menyaksikan Abdul Malek membuat undian di laman tersebut sambil disaksikan Pegawai Sukan Bahagian Pembangunan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM, Hafifi Azizan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS