ADS
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan

Peminat bola sepak di Malaysia mungkin akan mengundi Mohd Faiz Subri atas kapasiti pemain itu sebagai rakyat negara ini bagi meraih anugerah Puskas Fifa 2016.

Namun, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia, B Sathianathan meletakkan keyakinan bahawa peminat bola sepak seluruh dunia akan mengundi Faiz berdasarkan jaringan luar biasa dilakukannya.

Justeru kata Sathia, pemain pasukan Pulau Pinang itu mempunyai peluang besar untuk menewaskan pesaingnya dalam merebut gelaran penjaring gol tercantik dunia.

"Berdasarkan gol dihasilkan Faiz berbanding gol-gol calon lain, jaringan Faiz amat luar biasa. Gol seperti itu belum tentu dapat dilakukan dalam 300 perlawanan sekali pun.

"Saya rasa ia akan mendapat perhatian daripada peminat bola sepak seluruh dunia termasuk dari Eropah. Pengundi di sana akan memilih berdasarkan kehebatan gol tersebut, bukan sebab siapa yang melakukannya.

ADS

"Orang Malaysia akan undi Faiz sebab dia pemain di sini, tapi orang luar akan undi sebab kehebatan gol itu sendiri," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Sementara itu, antara 10 calon anugerah gol tercantik, aksi Faiz ketika menentang Pahang pada 16 Februari lalu itu paling banyak ditonton berbanding pencabarnya yang lain.

Video setakat ini menyaksikan Faiz unggul di depan dengan lebih sejuta tontonan dalam masa tiga hari ia dimuat naik ke saluran Fifa.

ADS

Pada 16 Februari lalu, Faiz membuat kejutan melalui tendangan unik yang menghasilkan gol ketika membantu pasukannya menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super 2016.

Dalam aksi di Stadium Bandaraya di George Town Pulau Pinang pemain 29 tahun itu mengambil sepakan percuma tersebut pada minit ke-62 di posisi kiri luar petak penalti lawan.

Sementara itu Sathia berkata, berdasarkan sambutan ramai terhadap video sepakan unik Faiz di laman You Tube tidak mustahil jaringan itu akan menewaskan gol pemain terkemuka dunia seperti Lionel Messi dan Neymar.

"Jaringan itu memang ada kelas tersendiri, setaraf dengan gol pemain-pemain hebat dunia. Ya tidak mustahil gol itu dipilih sebagai yang terbaik," jelasnya.

Klik di sini untuk mengundi jaringan Faiz sebelum tarikh tutup pada 2 Desember ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS