Perdana Menteri tetap memberi sumbangan dalam usaha rakyat negara ini melonjakkan peluang Mohd Faiz Subri memenangi anugerah berprestij bola sepak, Puskas Fifa tahun ini.
Memerlukan sokongan sebanyak mungkin, Datuk Seri Najib Razak sudah menekan butang undi untuk pemain bola sepak Pulau Pinang itu.
Perdana menteri dalam perkongsian di akaun Facebooknya turut berkempen agar rakyat Malaysia bersama-sama mengundi Faiz.
"Saya dah pilih, anda bila lagi?" katanya.
Undian dibuat Najib itu mendapat respon baik daripada kalangan pengikut Facebooknya apabila ia dikongsi lebih 500 kali selain lebih 9,000 reaksi orang ramai.
Faiz mencipta sejarah tersendiri apabila dicalonkan untuk anugerah Puskas Fifa 2016 bersama sembilan lagi pemain antarabangsa.
Pencalonan itu meletakkan Faiz sebaris dengan bintang bola sepak Barcelona Lionel Messi dan Neymar.
Pencalonan Faiz, 29, disahkan Fifa dalam kenyataan Isnin lalu. Untuk membolehkan seseorang pemain memenangi anugerah berkenaan mereka perlu mendapat sokongan undian daripada orang awam.
Undian yang boleh diakses dari seluruh dunia itu ditutup pada 2 Disember ini. [Klik di sini untuk mengundi]
Pencalonan Faiz adalah berdasarkan tendangan unik yang menghasilkan gol ketika membantu pasukannya menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super 2016.
Pada aksi di Stadium Bandaraya di George Town pada 16 Februari lalu itu, Faiz mengambil sepakan percuma tersebut pada minit ke-62 di posisi kiri luar petak penalti lawan.