Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2016, sememangnya setiap pasukan perlu membuat persediaan bagi mengawasi tiap pergerakan pemain lawan mereka.

Kali ini Malaysiakini Sukan membuat analisis terhadap lima pemain Selangor yang perlu dikawal ketat oleh pasukan Kedah pada saingan, Ahad ini.

Jika tidak, pemain-pemain Selangor tersebut sekali lagi akan mengecewakan Helang Merah seperti mana perlawanan musim lalu.

Andik Vermanshah

Di kalangan pemain import yang beraksi di liga Malaysia musim ini, pemain dari Indonesia ini tidak terlalu menyerlah berbanding pemain import yang dimilik pasukan-pasukan lain.

Namun, peranannya di posisi tengah skuad The Red Giants tidak boleh dipandang sebelah mata anak buah Tan Cheng Hoe.

Digelar sebagai 'Messi Indonesia', Andik memiliki larian pantas dan bijak mengatur umpanan serta boleh bermain dengan selesa di sisi kira dan kanan padang.

Selain itu, kelebihan hantaran tepat dilakukan Andik menjadi sandaran untuk Selangor meraih gol dalam setiap perlawanan dihadapi mereka.

Pemain kelahiran Jawa Timur ini juga seorang pemain yang agresif dengan keupayaan skill tinggi dan kebolehannya menjaringkan gol dalam situasi tak dijangka lawan.

Patrick Ronaldinho Wleh

Penyerang dari Liberia ini menjaringkan sembilan gol dalam saingan Liga Super dan setakat ini enam gol disumbangkan pada aksi Piala Malaysia sekali gus penjaring terbanyak pasukan Selangor pada musim ini.

Mula beraksi di Liga  Malaysia pada 2012 bersama pasukan Sime Darby, Ronaldinho kemudiannya berkhidmat bersama PKNS FC sebelum dipinjamkan ke Selangor musim ini.

Pemain berusia 25 tahun ini memiliki perwatakan sederhana dan tidak terlalu agresif ketika di atas padang.

Bagaimanapun, dia adalah 'target man' yang sering berlegar di kawasan kotak penalti untuk menyempurnakan umpanan rakan-rakan sepasukan.

Ugo Ukah

Badan sasa ala-ala ahli gusti dimiliki pemain dari Nigeria ini adalah aset penting Selangor untuk mempertahankan kejuaraan musim lalu mereka.

Ukah adalah 'kereta kebal' jentera pertahanan dan boleh melakukan sentuhan tajam tersendiri ketika berada di depan gawang lawan.

Pada aksi separuh akhir pertama dan kedua berdepan T-Team sebelum ini, Ukah menyumbang dua gol melalui dua perlawanan tersebut.

Peranan pemain berusia 32 tahun ini tidak boleh disangkal lagi, dia bertahan dan dia juga menjaringkan gol.

Pemain ini sering kali berada pada kedudukan tepat yang boleh menghasilkan gol khususnya ketika sepakan penjuru dilakukan.

Ahmad Hazwan Bakri

Penyerang 25 tahun ini watak penting yang membawa pasukan Selangor menjuarai edisi Piala Malaysia 2015 dengan menewaskan Kedah 2-0.

Ahmad Hazwan memberi pengajaran penting kepada Helang Merah dengan menjaringkan kedua-dua gol pada minit keempat dan ke-47 hasil kealpaan pertahanan lawan mengawasi pergerakannya.

Kali ini, Kedah perlu belajar daripada kesilapan lalu mereka dengan merantai ketat kelincahan pemain berjersi nombor 11 ini.

Selain berkelebihan membuat rembatan kencang dan larian pantas, Ahmad Hazwan juga licik mengintai ruang-ruang kosong untuk menempatkan diri sebelum menerima hantaran bola dari rakan sepasukan.

Dan penyudahnya sering mengancam gawang lawan. Sepanjang musim ini, pemain kelahiran Labuan ini sudah menjaringkan tiga gol masing-masing dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

R Gopinathan

Pemain posisi sayap ini juga tunjang kekuatan pasukan Selangor sepanjang musim 2016. Keberadaannya di bahagian kiri padang tidak boleh diambil ringan.

Lebih mesra dipanggil Gopi, pemain ini sentiasa berlari selari dengan pergerakan turun naik bola dan mengawasi tiap hantaran rakan-rakanya.

Kewujudan Gopi, selalunya kelihatan 'terbiar' dan kurang diawasi pemain lawan. Sedangkan pemain ini bijak mencuri peluang ketika pihak lawan sibuk memberi tumpuan kepada pemain lain.

Kerana itu juga, gol-gol dijaringkannya kebanyakan bola mudah susulan kelekaan pemain pasukan lawan. Gopi tidak perlu merembat kencang, sentuhannya menyambut hantaran rakan akan disempurnakan dalam keadaan pemain lawan terpinga-pinga dan hilang punca. Dia selalu ada di tempat sepatutnya.

Sepanjang musim ini, Gopi telah menyumbang lima gol melalui aksinya di Liga Super dan empat gol membantu Selangor melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2016.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS