Suasana gembira dan ceria menyambut kepulangan atlet Paralimpik Rio, khususnya Muhamad Ridzuan Mohd Puzi di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antabangsa KL ( KLIA) hari ini.
Seramai 40 orang, terdiri daripada anak-anak peneroka Felda Wilayah Alor Setar negeri Perlis hadir bagi menyambut kepulangan wira negara yang meraih emas pertama di Paralimpik itu.
Menurut Ketua Rombongan, Mohd Azulan Razali, mereka bertolak dari Perlis jam 1 pagi dan tiba di KLIA kira-kira jam 12 tengahari tadi dengan menaiki sebuah bas.
Namun pihaknya hanya dapat menyediakan sebuah bas bagi membawa rombongan anak-anak peneroka Felda yang juga rakan sekampung kepada Muhamad Ridzuan atau lebih mesra dipanggil 'Dek Wan'.
"Rombongan kami terdiri daripada anak-anak peneroka dan kawan kepada Dek Wan datang untuk menyambut kepulangan pahlawan kita.
"Di samping ahli keluarga terdekat Dek Wan dan atlet lain, kami juga tidak mahu ketinggalan meraikan kepulangan jaguh luar biasa negara ," katanya yang juga penyelia tanah Felda Wilayah Alor Setar.
Terdahulu Muhamad Ridzuan mencipta sejarah sebagai atlet Paralimpik pertama yang meraih pingat emas di temasya Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil.
Sementara itu suasana di Komplek Bunga Raya setakat jam 1.30 petang ini mula dibanjiri orang ramai.
Kira-kira 500 orang daripada pelbagai rombongan tiba di komplek tersebut, antaranya daripada Pertubuhan Integrasi Nasional, Gabungan NGO Rembau, OKU Sentral dan Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Majlis sambutan kepulangan wira-wirawati Paralimpik negara bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadualkan bermula pada jam 2 petang.
Najib bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijadual tiba pada jam 3.30 petang.
Ia disusuli majlis sambutan yang akan bermula sebaik ketibaan kontinjen negara dengan acara memperkenalkan atlet, ucapan perdana menteri dan sesi bergambar.
Pada jam 5.30 petang kontijen Paralimpik akan diarak ke Kuala Lumpur.