Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Ketua kontinjen negara ke Sukan Paralimpik 2016, Dr Ang Kean Koo melahirkan rasa syukur dan bangga dengan pencapaian dua atlet olahraga yang berjaya merealisasikan impian negara untuk meraih emas di Rio de Janeiro, Brazil.

Katanya, komitmen dan kesungguhan kedua-dua atlet berkenaan iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhamad Ziyad Zolkefli telah terbalas dan memberikan hasil yang sangat membanggakan negara dengan dua kali berkumandangnya lagu Negaraku di Stadium Olimpik Rio.

"Sebagai CDM (chef de mission) saya mewakili semua tenaga pekerja dan rakyat Malaysia ingin melahirkan rasa bersyukur yang tidak terhingga atas kejayaan Ridzuan dan Ziyad.

"Penat lelah dan usaha gigih selama ini telah terbalas dan membuahkan hasil yang sangat membanggakan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Dr Ang, kedua-dua atlet olahraga itu juga berjaya melunaskan tanggungjwab yang digalas mereka apabila menepati sasaran menyumbang pingat emas buat kontinjen negara.

Dr Ang berkata kontinjen negara mempunyai peluang untuk meraih pingat emas ketiga dalam acara lompat jauh F20 menerusi Abdul Latif Romly, yang dijadualkan beraksi pada 8.30 malam ini (waktu Malaysia).

"Sama-samalah kita berdoa," katanya.

Mohamad Ridzuan menyumbang pingat emas pertama negara apabila memenangi acara 100m T36 dengan catatan masa 12.07 saat.

Catatan masa yang dibuat oleh atlet yang berasal dari Padang Besar, Perlis itu juga merupakan rekod baru kejohanan, berbanding 12.25s yang dibuat atlet dari Ukraine, Roman Pavlyk di temasya di Beijing 2008.

Muhamad Ziyad pula merangkul emas kedua buat Malaysia dalam acara lontar peluru F20.

Selain berjaya meraih emas, beliau turut mencipta rekod dunia acara itu dengan catatan 16.84m.

Muhammad Ziyad memadamkan rekod dunia yang dicatat Todd Hodgetts dari Australia sejauh 16.29m di Paralimpik London 2012.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS