Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Ahmad Amsyar gagal ke separuh akhir, lompatan terakhir lucu

Dek kerana tersilap langkah di atas papan dalam terjunan terakhir, Ahmad Amsyar Azman menerima padah apabila dia gagal menempatkan diri dalam saingan separuh akhir acara 3m papan anjal lelaki di Sukan Olimpik Rio pada Ahad.

Gaya tubuhnya mencecah air dalam terjunan keenam dan terakhirnya dalam pusingan awal itu menggelikan hati penonton serta jurulatih di Pusat Akuatik Maria Lenk di Rio De Janeiro.

Berada di kedudukan ke-12 selepas lima terjunan dan hampir menempatkan diri dalam kalangan 18 peserta yang layak dalam kalangan 29 penerjun, terjunan Ahmad Amsyar itu sekadar menghasilkan 9.75 mata.

Kesemua penerjun lain memperoleh antara 56 dan 91 mata dan terjunan terakhir yang melucukan itu mengakibatkan dia tercorot sehingga kedudukan paling bawah dengan mata keseluruhan 341.70.

Penerjun China mengungguli carta dengan mengumpul 498.70 mata.

"Ia kesilapan taktikal semasa di atas papan dan saya hilang imbangan sebelum memulakan terjunan," kata Ahmad Amsyar, yang menggantikan Ooi Tze Liang bagi Olimpik Rio, dengan penuh rasa kecewa.

Tze Liang akan beraksi dalam acara 10m platform.

Penerjun berusia 23 tahun itu mengakui kesilapannya dan tidak tahu bagaimana ia berlaku.

"Masih belum rezeki saya," katanya.

Pusingan separuh akhir terdiri daripada 18 penerjun dan 12 penerjun terbaik akan mara ke final.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS