Kerajaan Sarawak dan Perak sedia mempertimbangkan untuk memberi insentif kepada penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong yang memenangi pingat perak acara terjun 10 meter platform seirama wanita di Sukan Olimpik Rio.
Bagi Pandelela, Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong percaya atlet yang merupakan anak kelahiran negeri itu akan menerima ganjaran atas kejayaannya tersebut.
"(Kejayaan) ini, saya percaya kerajaan negeri akan memikirkan sesuatu (ganjaran) kerana semasa beliau (Pandelela) meraih pingat gangsa (pada Sukan Olimpik London 2012), beliau juga diberi ganjaran kewangan," katanya hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri James Jemut Masing berkata kedua-dua penerjun, Pandelela dan Jun Hoong perlu diberi bantuan dalam usaha mengejar cita-cita mereka, termasuk dalam melanjutkan pengajian dan latihan.
"Gelaran Datuk atau pingat lain sebagai pengiktirafan boleh juga diberikan kepada mereka pada tahun-tahun akan datang.
"Saya bangga dengan kejayaan Pandelela dalam acara sukan di pentas dunia. Ini membuktikan 'Sarawak Boleh' jika diberi peluang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Kerajaan Negeri Perak juga dilaporkan akan memberi insentif kepada penerjun negara Cheong Jun Hoong atas kejayaan tersebut.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerajaan negeri sedang memikirkan jumlah insentif yang akan diberi memandangkan atlet itu telah mencipta sejarah menjadi anak Perak kedua meraih pingat di sukan Olimpik.
"Sebelum ini, Cheah Soon Kit (pemain beregu badminton) memenangi pingat perak dalam Olimpik Atlanta 1996, sekarang Jun Hoong meraih Perak, jadi sudah tentu kita berbangga.
"Jadi kerajaan negeri akan beri sesuatu kepada beliau selain insentif yang akan diberikan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN). Saya akan umumkan kemudian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Ipoh, hari ini.
Jun Hoong dan Pandelela memenangi pingat perak yang merupakan pingat pertama untuk Malaysia menerusi acara 10m platform seirama wanita di Pusat Akuatik Maria Lenk di Rio De Janeiro awal pagi tadi dengan mengumpul 344.34 mata.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata MSN akan mengkaji jumlah insentif yang akan diberi kepada Jun Hoong.
"Kebiasaannya MSN akan memberi insentif sebanyak RM15,000 kepada pemenang individu, manakala berpasukan seperti bola sepak atau hoki seorang akan diberi RM5,000," katanya.