Brazil gagal besar di padang ragbi untuk temasya Olimpik kali ini, namun secara peribadi seorang pengurus padang memperoleh tuah yang cukup besar kepada dirinya.
Semalam di Stadium Deodoro, Rio de Janeiro berlangsung perlawanan akhir ragbi tujuh sebelah wanita membabitkan pasukan Australia menentang New Zealand.
Selepas perlawanan berakhir dengan Australia memperoleh pingat emas dengan mata 24-17, pengurus stadium Marjorie Enya memasuki padang secara bersahaja.
Bersamanya ialah pemain ragbi wanita kebangsaan Brazil, Isadora Cerullo.
Marjorie, 28, yang juga sukarelawan temasya Olimpik kali ini kemudian melutut di depan Isadora dan menggunakan mikrofon dia melamar atlet wanita itu.
Sejurus kemudian mereka pun berdakapan.
"Sebaik saya tahu dia berada dalam pasukan Brazil, saya fikir perlu untuk saya melakukan hal istimewa ini," kata Marjorie seperti dilaporkan BBC Sport.
Bermula hidup baru
Untuk rekod, kedua-dua mereka adalah wanita.
Dalam pertandingan Olimpik ini pasukan Brazil gagal meraih sebarang pingat dan berada di kedudukan tempat kesembilan.
Kata Marjorie dia faham sebagai pemain ragbi Isadora, 25, adalah kekasih yang luar biasa dan mereka akan menerima lamarannya.
Marjorie menegaskan dia tidak pernah teragak-agak atau takut untuk melamar Isadora secara begitu terbuka.
Pasangan Marjorie - Isadora tinggal bersama di Sao Paulo selepas atlet terbabit berpindah ke bandar raya itu sebagai persediaan menghadapi Olimpik.
Mengenai prestasi skuad Brazil di padang ragbi, Marjorie berkata saingan negara itu memang sudah berakhir.
"Tetapi pada masa sama, bagi saya ia menandakan permulaan hidup baru dengan seseorang.
"Saya mahu tunjukkan kepada semua bahawa pemenang di sini adalah cinta kami," katanya.