ADS
mk-logo
Sukan
Malaysia berpeluang raih pingat pertama di Rio

Malaysia berkemungkinan berpeluang meraih pingat pertama dalam Sukan Olimpik Rio apabila pasangan acara terjun, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong beraksi di Maria Lenk Aquatics Center di Rio De Janeiro, Brazil.

Pasangan itu akan bersaing dalam acara 10m platform seirama bersama-sama pasangan penerjun nombor Satu dunia dari China, Chen Ruolin dan Liu Huixia.

Bagaimanapun, kedua-dua penerjun negara itu perlu berdepan dengan pasangan penerjun dari Korea Utara, Kim Kuk Hyang dan Kim Mi Rae selain pasangan yang berpeluang meraih pingat dari Kanada, Meaghan Benfeiro dan Roseline Filion.

Pasangan China merupakan pilihan ramai untuk mengekalkan pingat emas dengan pasangan Korea disebut-sebut untuk meraih pingat perak manakala Malaysia, Kanada, Mexico perlu berentap untuk gangsa.

"Saya tidak nampak sebarang sebab kenapa kita tidak boleh menjadi antara pesaing pingat," kata Pandelela.

"Saya mendapat pengalaman dalam Sukan Olimpik London dan kami kini lebih bersedia untuk podium," kata pemenang pingat gangsa berusia 23 tahun pada Sukan Olimpik London 2012 dalam acara 10m platform individu.

Ratu acara terjun kelahiran Sarawak itu tidak akan bersendirian apabila ibu bapanya, Pamg Heng dan Harti Lamin dan abang sulungnya, Pardika Inboma akan menyaksikan beliau beraksi.

"Dalam Olimpik London, tiada siapa menjangkakan saya menang satu pingat dan kedua-dua ibu bapa saya juga tidak ada di sana, namun kali ini mereka berpeluang melihat saya beraksi," kata Pandelela.

ADS

Beliau juga akan beraksi dalam acara kegemarannya 10m platform individu bersama rakan senegara Nur Dhabitah Sabri pada 18 Ogos.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS