"Murah", "Bagus", dan "Laju" - pilih dua daripada ciri itu untuk menjalani hidup. "Bagus" dan "Laju", pastikan poket kau tebal. "Bagus" dan "Murah" - masuk barisan dan tunggu giliran macam orang lain. Bagi kebanyakan orang pula "Kelajuan" adalah perkataan yang berbahaya.
Tapi bagi orang tertentu, mereka memerlukan "Kelajuan" seperti mereka memerlukan oksigen. Mereka jadikan "Kelajuan" sebagai merit hidup – yang meninggalkan mereka dengan satu pilihan. Pilihan ini yang menentukan di mana hujung minggu mereka dihabiskan.
Empat jam dengan bayaran RM300 hingga RM400 bagi yang datang dengan Yamaha R1 atau CBR1000 adalah kadar yang berpatutan untuk kualiti litar seperti Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Bayaran itu termasuk khidmat marshall untuk tunjuk ajar dan perubatan jika berlaku kecederaan.
Seorang pro dengan mudah boleh menghabiskan lapan lap satu sesi. Bagi stamina biasa, empat lap untuk litar sepanjang 5.543km itu sudah dikira satu pencapaian.
Jika penganjur dalam mood yang bagus, baju T dan makanan percuma disediakan.
SIC dirasmikan pada 1999 - ketika rantau Asia yang disebut sebagai "Malaysia" ini ingin berdiri di mata dunia melalui Dasar Pandang Ke Timur diperkenalkan Tun Mahathir Mohamad setahun selepas menjadi perdana menteri. Kita ambil konteks itu secara literal. Terlalu literal barangkali.
Untuk berdiri di mata dunia kita pun membina menara paling tinggi di dunia. Untuk kesan penegasan - supaya setiap mata di dunia melihat kita berdiri - kita pun bina dua menara sebelah-menyebelah, dan beri nama Menara Berkembar Petronas yang siap pada 1997.
Setahun kemudian kita jadi tuan rumah Sukan Komanwel dengan Ella menanyikan lagu tema Standing In The Eyes Of The World.
Di bawah kemaruk Wawasan 2020, beberapa projek mega lain menyusul selepas itu termasuklah SIC. Hari ini, litar itu dikenali sebagai litar wajib bagi mereka yang mahu mencipta nama dalam sukan pemotoran.
Liga poket tebal
Tak ada korban yang cukup berharga untuk "kemajuan". Pencapaian Malaysia sebagai penganjur utama sukan pemotoran dunia tidak datang tanpa rasa tidak puas hati terutama dari kalangan peminat tempatan.
Sekian lama, beberapa pihak yang terdiri daripada kelab-kelab motosikal tampil menyatakan rasa kesal. Bagi mereka, Litar Antarabangsa Sepang adalah untuk liga poket tebal.
Pada 2015, Andalas Bike Syndicate (ABS) memulakan kempen memboikot trackday dan menghantar memorandum kepada Kementerian Kewangan Malaysia. Antara lain kandungan memorandum itu adalah bantahan terhadap harga yang dikenakan pihak pengurusan litar.
ABS mendesak lantikan penganjur tempatan untuk menguruskan trackday sebagai menggantikan Sports Bike Rider (SBR), operator tunggal dari Singapura yang dilantik melalui tender jemputan.
ABS turut mendakwa bahawa sejak SBR mengambil alih, motosikal bawah 400cc tidak lagi kelihatan. Media melaporkan beberapa kali keluhan serupa. Respons agak suram.
Litar untuk grassroot
Tak banyak pilihan lain sehinggalah 2012 apabila Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor (LLRKS) mendapat kelulusan Majlis Daerah Kuala Selangor. Daripada cetusan idea seseorang bernama Asmawi Sukor, LLRKS cuba menghidupkan semula sukan bermotor kelas akar umbi (grassroot) yang hampir terkubur.
Sesuai dengan namanya, LLRKS adalah alternatif bagi mereka yang tidak mampu berlumba di Sepang. Kos pembinaan LLRKS ketika ini tak lebih RM300,000. Litar sepanjang 1.1km dengan 10 selekoh itu jauh sekali untuk dibandingkan dengan Litar Antarabangsa Sepang. Tapi kesungguhan pihak pengurusan untuk menyediakan litar alternatif wajib diberi pujian.
Dengan kadar bayaran serendah RM30 sesiapa saja boleh menggunakan litar itu antara jam 9 pagi hingga 6 petang. Pelbagai acara diadakan dengan kekerapan yang cukup untuk memastikan litar itu digunakan sepenuhnya.
Antara yang menjadi tumpuan adalah King Of 2T yang diadakan lima kali setahun, selain All Star Track Day dua kali setahun.
Pada malam hujung minggu, acara Saturday Night Open Track diadakan apabila litar dibuka kepada orang ramai dengan bayaran serendah RM5 dari pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.
Podium atau jalan raya?
Pihak pengurusan LLRKS turut menyediakan kelas latihan dan tenaga jurulatih profesional. Sejak pembukaan, LLRKS telah melahirkan beberapa bakat muda.
Pada umur 15 tahun, Imran Hadi Mohd Asmawi (gambar) mendapat tempat kedua keseluruhan kategori Yamaha Petronas Super Series dalam Kejuaraan Petronas AAM Malaysian Cub Prix 2015 selain merangkul juara kategori Mix 130 4T Stock dalam Pusingan ketiga Kejuaraaan King of 2T 2016.
Nama lain juga ada, seperti Mohd Firdaus Mohd Hamdan, 18, yang mendapat tempat kedua keseluruhan kategori Honda Future One Make Challenge dalam kejohanan Petronas Aam Malaysian Cub Prix 2015 selain merangkul Johan kategori Mix 150 Sports Production dalam Pusingan Kedua kejohanan King of 2T 2016.
Adakah nama-nama ini akan menjadi pelapis sukan permotoran negara? Masa dan kesungguhan mereka sendiri akan menentukan. Tapi jika melihat situasi hari ini - ketika juara Moto3 Argentina GP seperti Khairul Idham Pawi pun mengeluh soal kesukaran mendapatkan penaja - lebih mudah membayangkan mereka memenangi pertaruhan lumba jalanan.
Siapa perlukan podium dan pingat kalau kau boleh dapat kepuasan sama di jalanan, apa lagi tanpa perlu mengemis ihsan penaja.
Objektif litar
Di sebalik reputasi cemerlang LLRKS adalah kerja keras yang datang bersama keluhan pihak pengurusan. Amir Ikhwan, salah seorang pengasas LLRKS mengakui kesukaran untuk mencari mereka yang berminat bekerja atau berkongsi visi LLRKS.
Bagi Amir, sesebuah litar ditubuhkan dengan objektif berbeza. Litar Antarabangsa Sepang, menurutnya, lebih untuk tujuan komersial seperti promosi pelancongan dan menggalakkan pelabur luar, manakala litar seperti LLRKS lebih menyasarkan golongan grassroot, selain sebagai usaha berterusan untuk mengurangkan lumba haram.
LLRKS hadir ketika hampir setiap malam wartawan seperti Mazidul Akmal Sidek muncul di kaca TV melaporkan “gejala sosial anak muda”. Di hujung laporan berat sebelah seumpama itu biasanya akan diajukan dengan pertanyaan yang terlalu dangkal untuk dilihat sebagai naif seperti: “Di mana silapnya?”
Perasaan "aku-lebih-bagus-daripada-kau" ini selalunya akan dikongsi oleh ketua penguatkuasa yang gah mengumumkan kejayaan operasi-operasi khas jalan raya dengan jumlah saman yang dikeluarkan dan rampasan motosikal yang “tidak menepati ciri-ciri keselamatan”.
Meletakkan topi kesalahan di kepala orang lain mudah dilakukan jika orang lain itu tidak mempunyai suara atau tempat untuk bersuara. Hari ini, sembilan daripada 10 individu yang tak tahu apa-apa tentang motosikal akan boleh menceritakan sebuah kisah tentang mat rempit, bohsia, dadah dalam satu nafas yang sama.
Litar Batu Tiga Shah Alam
Malaysia bukan nama baru dalam sukan pemotoran. Mungkin hari ini sukan itu tidak sepopular sukan lain seperti bola sepak misalnya. Seakan-akan sukan pemotoran lebih dekat dengan golongan berkemampuan, tapi suatu masa dulu sukan itu merupakan sukan yang sinonim dengan rakyat Malaysia tanpa mengira status.
Seawal 1968 lagi, Malaysia sudah mempunya litar lumba bertaraf dunia. Litar Lumba Shah Alam - atau lebih dikenali sebagai Litar Batu Tiga - mungkin tidak memberi apa-apa makna bagi sesetengah orang. Namun bagi orang tertentu, litar itu mengimbau seribu satu nostalgia.
Bagi penggemar sukan pemotoran terutama pada era kemuncaknya pada 80-an dan 90-an, litar itu ibarat blueprint kepada sejarah panjang dunia pemotoran di Malaysia.
Litar Batu Tiga dibuka pada 1968 hasil perjuangan Kelab Sukan Motor Malaysia (MMSC). Litar sepanjang 3.5km dengan 14 selekoh - sembilan kanan dan lima kiri - pada keluasan 143 ekar, lengkap dengan back straight sepanjang 900 meter yang dengan mudah untuk pelumba mencecah kelajuan 190km/j menjadikan litar itu terbaik di Asia Tenggara.
Pelumba dan pengurus perlumbaan dari luar negara yang meninjau pembangunan litar itu mengakui ia litar kedua terbaik di Asia selepas litar di Jepun. Malah bagi sesetengah pemandu, litar itu dikatakan antara yang terbaik di dunia.
Tempat hiburan keluarga
Lama sebelum dikenali di litar-litar antarabangsa lain, ramai nama besar dalam sukan pemotoran hari ini hadir sebagai underdog di Litar Batu Tiga.
Valentinno Rossi masih menunggang Aprillia RS125 untuk pasukan Scuderia AGV pada kemunculan sulungnya dalam kejuaraan dunia kategori 125cc. Begitu juga Max Biaggi yang memenangi kejuaraan dunia pertamanya di litar ini.
Mick Doohan barangkali pelumba yang selamanya akan dikaitkan dengan litar ini setelah menguasai kategori 500cc dengan kemenangan empat kali berturut-turut dalam MotoGP. Di litar sama, peminat sukan permotoran tempatan dapat menyaksikan sendiri Randy Mamola, Wayne Rainey, Kevin Schwantz berentap dengan jentera dua lejang mereka.
Kos pembinaan Litar Batu Tiga ketika itu kurang daripada RM1 juta. Kerana kehadirannya ketika minat mendalam orang ramai dalam bidang pemotoran, pihak swasta turut menghulur bantuan untuk menyediakan kemudahan lain.
Lokasinya yang terletak tidak jauh dari ibu kota, menjadikan ia litar ideal.
Anekdot-anekdot daripada mereka yang sempat merasakan sendiri bingit litar itu pada hujung minggu memberi gambaran Litar Batu Tiga bukan sekadar litar lumba, sebaliknya tempat hiburan keluarga. Ibarat ‘funfair’ untuk membawa keluarga bersiar-siar pada hari cuti selepas baru menerima gaji.
Selain menjadi gelanggang perlumbaan motosikal dan kereta, litar itu pernah menjadi tempat perlumbaan jalan kaki bagi orang buta Malaysia. Jackie Chan tidak ketinggalan membuat penggambaran filem Thunderbolt di litar ini.
Ia adalah zaman yang menyeronokkan untuk seorang penggemar sukan permotoran. Untuk seketika, penggemar sukan permotoran tempatan mempunyai sebuah litar yang bukan saja murah tapi juga kualiti tahap dunia.
Malangnya, pada 2003, kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Khir Toyo menjual tapak litar itu kepada pemaju perumahan dan seterusnya merobohkan litar itu untuk diganti dengan projek perumahan D’Kayangan.
Bagi pelumba dan peminat, terutama golongan grassroot, sukan permotoran tempatan tidak lagi sama seperti sebelumnya. Pilihan untuk mereka semakin terhad.
Adat perlumbaan - ada yang menang, ada yang kalah. Tapi dalam perlumbaan yang pemenangnya ditentukan oleh merit yang cuma dimiliki pihak tertentu, mereka yang sudah bosan kalah buat gelanggang sendiri dengan peraturan sendiri. Dan mereka mempunyai peluang untuk menang.
[Bersambung]