Selepas empat edisi, kejohanan badminton Piala Foo Kok Keong (FKK Cup) kelima kembali dengan saingan lebih komprehensif dan mencabar dengan penyertaan 12 pasukan.
Kali ini penganjuran kejohanan itu menarik peserta baru iaitu pasukan dari Hong Kong, Taiwan dan Australia selain peserta dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.
Exco Sukan Selangor Amirudin Shari berkata, peningkatan penyertaan setiap edisi penganjuran itu membuktikan FKK Cup mempunyai potensi besar di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, selepas penganjuran pertama pada 2012 kejohanan itu mempunyai tarikan tersendiri sebagai pertandingan badminton di pentas global.
"Kejohanan ini unik kerana melibatkan penyertaan pemain veteran berusia 35 tahun ke atas.
"Justeru, kita membariskan ramai bekas pemain bertaraf bintang sama ada dari Malaysia atau pun Indonesia," katanya pada sidang media di shah Alam semalam.
Terap dalam diri
FKK Cup kali ini akan berlangsung pada 15 hingga 17 Julai di Kelab Shah Alam.
Amirudin berkata, antara bekas pemain profesional akan beraksi pada kejohanan tahun ini ialah Foo Kok Keong, Rahman Sidek, Ong Ewe Hock, Bambang Suprianto dan Taufik Hidayat.
Selain menggalakkan gaya hidup sihat katanya, penganjuran juga turut mempromosi keharmonian kaum sebagai matlamat bersama.
"Ini juga penting untuk meningkatkan semangat juang di kalangan peserta dan peminat sukan.
"Kerajaan negeri berharap ia turut diterapkan dalam diri setiap rakyat agar mampu membangun tahap kemajuan seperti negara-negara lain," ujarnya.
Sementara itu, Amirudin berkata, pihaknya akan membawa isu penyelenggaraan fasiliti sukan di Kelab Shah Alam ke mesyuarat exco kerajaan negeri.
Terdahulu, pihak pengajur membuat permintaan supaya kerajaan negeri memberi perhatian khusus terhadap kemudahan di pusat sukan itu supaya dapat digunakan dengan baik.