Misi skuad Harimau Malaysia mencari kemenangan pertama di Kepulauan Oceania tidak kesampaian apabila tewas 2-0 kepada Papua New Guinea, sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Sir John Guise itu, Datuk Ong Kim Swee mempertaruhkan penjaga gol muda negara, Farhan Abu Bakar sebagai benteng terakhir pertahanan negara.
Ternyata pasukan Papua New Guinea kini bukanlah pasukan yang dahulu dan mereka mempunyai seorang penyerang muda berbisa.
Tommy Semmy, pemain berusia 21 tahun itu berjaya menghadiahkan dua gol buat pasukannya sekali gus menguburkan hasrat Malaysia mencipta kemenangan pada perlawanan persahabatan bertaraf A itu.
Walaupun lebih menguasai perlawanan di separuh masa pertama, anak buah Kim Swee tidak berpeluang untuk melakukan percubaan berbahaya.
Ia membuktikan pasukan tuan rumah memberi tentangan hebat kepada Malaysia.
Sementara itu, Semmy membuktikan bermain dengan pasukan di ranking lebih tinggi tidak menjadi masalah buatnya dan rakan-rakan.
Pada perlawanan itu, Semmy menjaringkan gol pertama pada minit ke-35 dan 42.
Malaysia kali ini meletakkan penyerang veteran Amri Yahyah di posisi serangan di samping Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani dan Mahalli Jasuli.
Bagaimanapun, entah di mana silapnya percaturan Kim Swee kali ini tidak menjadi.
Keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil.
Kemenangan Papua New Guinea itu membuktikan ranking ke-193 dunia dimilik mereka tidak menjadi masalah untuk menandingi Malaysia di ranking ke-174.
Selepas ini skuad kebangsaan bakal melengkapkan siri Jelajah Oceania 2016 dengan aksi bertemu New Caledonia (ranking 183) di Noumea pada 22 Jun, dan Fiji (ranking 186) di Nadi pada 26 Jun.