Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Ronaldo, Messi atlet terkaya pada 2015
Diterbitkan:  Jun 12, 2016 10:47 AM
Dikemaskini: 2:53 AM

Majalah berpengaruh Forbes menyenaraikan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sebagai atlet sukan terkaya di dunia mengatasi petinju Floyd Mayweather dan bekas juara dunia golf, Tiger Woods.

Ronaldo, 31, kini memperoleh pendapatan sebanyak AS$88 juta (RM359.3 juta) hasil daripada gaji, bonus dan tajaan pada tahun lepas.

Dilaporkan pendapatan Ronaldo di luar padang saja mencecah AS$32 juta (RM130.7 juta) termasuk pendapatan sebanyak AS$13 juta (RM53.1 juta) setahun kontrak dengan syarikat pakaian sukan Nike yang turut menaja lebih dari 50 bintang dunia ketika ini.

Penyerang Barcelona dan pemain terbaik dunia sebanyak tiga kali, Messi, pula di tempat kedua dengan pendapatan sebanyak AS$81.4 juta (RM332.4 juta) - meletakkannya pada kelompok atlet lain seperti Mayweather dan Woods yang mengusai carta tersebut sejak sedekad lalu.

Disenarai tempat ke-11, pemandu F1, Lewis Hamilton dari England adalah atlet terkaya Britain dengan pendapatan sebanyak AS$46 juta (RM187.8 juta).

Pemain golf Rory McIlroy dari Ireland Utara pula disenarai pada anak tangga ke-17, dengan hasil pendapatan sebanyak AS$42.6 juta (RM173.9 juta) dengan AS$35 juta (RM142.9 juta) daripadanya adalah perolehan melaui tajaan.

Penyerang antarabangsa Wales, Gareth Bale - rakan sepasukan Ronaldo - di anak tangga ke ke-25 dengan pendapatan sekitar AS$35.9 juta (RM142.9 juta) menjadikannya pemain bola sepak British terkaya ketika ini.

Wayne Rooney, kapten pasukan England dan Manchester United pula ditangga ke-49, dengan pendapatan sebanyak AS$ 26.1 juta (RM106.6 juta) menjadikannya pemain mendapat gaji tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris.

Penyerang Manchester City, Sergio Aguero pula di anak tangga ke-60 dengan pendapatan sebanyak AS$24.3 juta (RM99.2 juta).

Sementara itu pemain tenis, Serena Williams adalah atlet wanita terkaya dunia dengan pendapatan sebanyak AS$28.9 juta (RM118 juta) yang diperolehinya pada tahun lepas.

Walaupun begitu secara keseluruhan Serena disenaraikan di tangga ke-40.

Jelitawan dari Rusia, Maria Sharapova pula jatuh ke anak tangga 79 dengan pendapatan sebanyak AS$21.9 juta (RM89.4 juta).

Sharapova yang pernah menikmati status atlet wanita terkaya dunia kini sedang menjalani hukuman gantung dua tahun selepas disabitkan kesalahan menggunakan bahan larangan.

Berikut adalah 10 senarai teratas yang dikeluarkan Forbes.

  1. Cristiano Ronaldo, bola sepak: AS$88 juta (RM359.3 juta)
  2. Lionel Messi, bola sepak: AS$81.4 juta (RM332.4 juta)
  3. LeBron James, bola keranjang: AS$77.2 juta (RM315.2 juta)
  4. Roger Federer, tenis: AS$67.8 juta (RM276.8 juta)
  5. Kevin Durant, bola keranjang AS$56.2 juta (RM229.5 juta)
  6. Novak Djokovic, tenis AS$55.8 juta (RM227.8 juta)
  7. Cam Newton, bola sepak Amerika AS$53.1 juta (RM216.8 juta)
  8. Phil Mickelson, golf AS$52.9 juta (RM216 juta)
  9. Jordan Spieth, golf AS$52.8 juta (RM215.6 juta)
  10. Kobe Bryant, bola keranjang: AS$50 juta (RM204.2 juta)

Fakta menarik: Satu perempat daripada 100 bintang yang berpendapatan tinggi dalam senarai Forbes adalah pemain besbol, dengan 65 daripadanya adalah warga AS. Secara keseluruhan mereka memperoleh AS$3.15 (RM12.9 bilion) pada 2015.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS