Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan
Erdogan 'merajuk' di pengebumian Ali?
Diterbitkan:  Jun 11, 2016 3:17 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

Recep Tayyip Erdogan adalah antara tokoh terawal menyatakan rasa sedihnya atas kematian Muhammad Ali.

Dia adalah seorang daripada tokoh antarabangsa yang dijadual memberi penghormatan terakhir kepada petinju legenda itu.

Tokoh lain yang disebut-sebut ialah pemerintah Jordan Raja Abdullah, bekas presiden Bill Clinton, dan pelawak Billy Crystal.

Malah laporan menyebut Erdogan memendekkan lawatan rasminya di AS untuk menghadiri majlis pengebumian Muhamma Ali.

Namun ketika upacara itu berlangsung di kampung halaman Muhammad Ali di Louisville, Kentucky, AS Erdogan tidak muncul.

Sebaliknya pejabat Erdogan memberitahu tokoh dikagumi ramai - dan turut dibenci ramai yang lain - pulang ke Turki. Tiada penjelasan diberikan, dan ia membuka kepada pelbagai spekulasi.

Jurucakap keluarga Muhammad Ali, Bob Gunnell, kemudian memberitahu media dua tokoh baru dimasukkan ke senarai pengucap sebelum pengebumian dijalankan.

Itu bermakna ada dua tokoh awal - Erdogan dan Abdullah - disenaraikan telah menarik diri atau tidak dapat berucap.

"Kedua-dua mereka memahami dan tidak terguris," katanya.

Kelambu Kaabah

Bagaimanapun Erdogan dilaporkan hadir di majlis doa diadakan pada malam kelmarin.

Kemudian muncul pelbagai teori mengapa Erdogan tidak diberi kesempatan menyatakan penghargaan dan takziah sebelum jenazah Muhammad Ali disemadikan.

Media Turki melaporkan Erdogan berhadap dapat meletakkan cebisan kelambu Kaabah pada keranda Muhammad Ali sebelum pengebumian dijalankan.

Namun pengelola upacara itu menolak, selain tidak bersetuju dengan cadangan membenarkan seorang ulama terkemuka Turki membaca al-Quran mengiringi pengebumian itu.

Beberapa laporan tidak dapat disahkan pula menyebut keluarga Muhammad Ali menjemput ulama berpangkalan di AS, Fethullah Gulen, menghadiri pengebumian berkenaan.

Masalahnya ialah, Fethullah dan Erdogan adalah seteru dan tidak sependapat dalam aliran pemikiran masing-masing.

Lebih memburukkan keadaan, lapor Hurriyet Daily News, berlaku tolak-menolak antara pengawal peribadi Erdogan dengan anggota keselamatan AS yang ditugaskan mengawal presiden Turki itu.

Bagaimanapun Muhammad Ali dilihat dekat di hati Erdogan.

Seperti di kebanyakan negara umat Islam lain, Muhammad Ali dilihat sebagai ikon yang tegas dengan pegangan agama serta sikap antipenjajahannya.

Muhammad Ali sendiri pernah melawat Istanbul pada 1976 dan bertemu pemimpin Islam Turki, Necmettin Erbakan.

Erbakan adalah tokoh yang banyak memberi kesan dan pengaruh kepada Erdogan.

"Isu dibangkitkan Muhammad Ali berdekad-dekad lalu masih kekal relevan hari ini.

"Justeru cara yang betul menghargai wira rakyat ialah merealisasikan wawasannya mengenai kebebasan, kesaksamaan dan perpaduan," tulis Erdogan sebelum ini untuk mengenang Muhammad Ali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS