Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan
Petinju legenda dikebumi malam ini
Diterbitkan:  Jun 10, 2016 4:46 PM
Dikemaskini: 1:23 PM

Berpuluh-puluh ribu orang bersedia mengucapkan selamat jalan kepada atlet legenda Muhammad Ali apabila jenazahnya dibawa ke tanah perkuburan malam ini (waktu Malaysia).

Jenazah Muhammad Ali, 74, akan disemadikan di Tanah Perkuburan Crave Hill di Louisville, Kentucky.

Beliau meninggal dunia pada 3 Jun lalu selepas menghidap Parkinson selama kira-kira 30 tahun.

Pelakon Will Smith, penyanyi Yusuf Islam dan bekas petinju Lennox Lewis adalah antara tokoh yang diberi penghormatan membawa keranda Muhammad Ali, manakala bekas Presiden AS, Bill Clinton, akan memberi ucapah perpisahan.

Pas masuk percuma sebanyak 18,000 keping yang diberikan kepada orang ramai untuk memberi penghormatan terakhir habis hanya dalam tempoh kira-kira 30 minit.

Malah ada pihak tertentu menjual pas masuk berkenaan kepada orang yang gagal mendapatkannya.

Agensi berita melaporkan perarakan ke tanah perkuburan akan bermula pada jam 9 pagi (9 malam waktu Malaysia) melalui kawasan rumah Muhammad Ali dibesarkan, Ali Center, Pusat Warisan Afrika Amerika dan Persiaran Muhammad Ali.

Proses itu dijangka mengambik masa kira-kira 90 minit sebelum jenazahnya dikebumikan di depan ahli keluarga terdekat dan tetamu terpilih.

Selain Clinton, Attallah Shabazz - anak aktivis sosial AS, Malcolm X, serta balu Muhammad Ali, Lonnie, dan anak mereka, Maryum dan Rasheda juga akan memberi ucapan.

Sekurang-kurangnya dua pemimpin negara luar akan hadir, iaitu Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan serta pemerintah Jordan Raja Abdullah.

Presiden Barack Obama tidak dapat menghadirkan diri kerana perlu berada di majlis graduasi anak perempuannya, Malia, namun dia menghantar mesej video.

"Minggu ini kita kehilangan seorang ikon. Seorang lelaki yang saya fikir berjaya membebaskan minda masyarakat Afrika Amerika untuk berbangga dengan diri mereka," katanya.

Lewis pula berkata dia berasa bangga dipilih membawa keranda Muhammad Ali dan ia adalah kenangan yang tidak akan pudar daripada ingatannya.

"Ungakapan 'terbang seperti rama-rama, menyengat seperti tebuan' akan sentiasa dikenang. Muhammad Ali adalah ikon dan legenda tinju," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS