Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Sebanyak 78 pemain bola sepak yang terbabit dengan skandal rasuah dan mengatur perlawanan pada awal 1990-an, kini dibenarkan untuk kembali aktif dalam sukan itu.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bersidang hampir empat jam di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini memutuskan, pemain terbabit boleh kembali aktif dalam sukan itu sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mendapatkan pandangan daripada semua pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Jawatankuasa Integriti FAM membuat keputusan ini setelah mengambil kira pandangan semua pihak (sebahagian besar pemain beraksi antara 1994 ke 1995)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu, di sini.

Bagaimanapun Afandi berkata enam lagi pemain Sabah era 90-an yang dikenakan hukuman penggantungan seumur hidup oleh FAM, akan dirujuk kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Dalam perkembangan lain, Afandi berkata Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) diarahkan membayar pampasan berjumlah RM165,000 kepada bekas jurulatih pasukan itu, Steve Darby dari England yang dipecat pada 2014 susulan prestasi terumbang-ambing negeri Pantai Timur itu.

Afandi berkata keputusan itu diputuskan Jawatankuasa Rayuan FAM baru-baru ini setelah mendengar rayuan jurulatih berusia 61 tahun itu.

Darby yang kini bertugas sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Laos, dilaporkan berhasrat membawa kes berkenaan kepada Fifa susulan kegagalan Kafa melunaskan pampasan berjumlah RM636,000 untuk tempoh 17 bulan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS