Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Jurulatih Datuk K Rajagobal perlu menghentikan eksperimen dan memberi perhatian memantapkan pasukan Sarawak dalam menghadapi baki perlawanan saingan Liga Super musim ini.

Kecewa dengan prestasi bekas skuad bimbingannya, Awang Mahyan Awang Mohamad berkata Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) perlu mencari anak tempatan yang berpotensi dan tidak bergantung kepada pemain luar.

Beliau berkata FAS perlu menjelajah ke seluruh pelosok negeri Sarawak untuk mencari pemain tempatan dan bukan mengambil jalan mudah dengan mengisi skuad itu dengan pemain luar.

"Sebenarnya Sarawak tidak kurang pemain berpotensi yang boleh dilatih dan digilap menjadi pemain yang baik," kata pencetus slogan Ngap Sayot pada era kegemilangan bola sepak Sarawak pada akhir tahun 1980-an.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas kedudukan tercorot Sarawak dalam Liga Super selepas hanya menang satu daripada 10 perlawanan setakat ini.

Cari pemain bagus

Awang Mahyan, 66, yang kini aktif dalam parti politik tempatan, turut membidas kualiti pemain import yang dibawa oleh FAS dalam pasukan itu musim ini dan mencadangkan pasukan itu memerlukan rombakan.

"Pemain import yang sedia ada dalam pasukan semuanya tidak berkualiti, lagi pun saya nampak mereka tidak memiliki semangat juang yang tinggi ketika beraksi.

"Misalnya, apabila mereka mendahului perlawanan, mereka tidak mampu bertahan dan akhirnya hilang tumpuan dan hilang semangat sehingga memboleh pasukan lawan menewaskan mereka," katanya.

Menurut Awang Mahyan, berkemungkinan pemain import yang dibawa masuk ke pasukan Sarawak tidak digunakan oleh pasukan atau kelab asal mereka disebabkan mutu permainan mereka merosot.

Selain itu, katanya, FAS perlu berusaha mendapatkan pemain import yang bagus, terutama penyerang yang berbisa apabila pintu perpindahan pemain dibuka pada Jun depan.

Ngap Sayot menggambarkan daya juang dan permainan cantik pasukan Sarawak bimbingan Awang Mahyan pada 1988 hingga 1990 ketika dalam era kegemilangan mereka di Liga Malaysia.

Beliau mengilhamkan slogan tersebut ketika bermain snuker dengan pemainnya dengan membawa maksud dalam bahasa Melayu 'mudah untuk dikalahkan'.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS