Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan tiada debat akan berlangsung antara beliau dan Tengku Mahkota Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sebaliknya menurut Khairy, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan FAM bagi mengemukakan perancangan dalam meningkatkan mutu bola sepak negara.
Pertemuan tersebut katanya susulan perbincangan beliau dengan Tunku Ismail, Rabu lalu.
Dalam perbincangan tersebut katanya, kedua-dua pihak bersetuju bahawa ia memadai (tidak perlu mengadakan debat seperti dicadangkan sebelum ini) memandangkan beberapa idea baru diperolehi bagi meningkatkan kualiti bola sepak tanpa perlu mengadakan perbahasan.
"Bagi saya dan saya harap pihak Tunku Ismail juga, kita sudah berbincang dan bersetuju perjumpaan berkenaan adalah cukup. Beberapa perkara yang perlu tindakan susulan akan diambil saya dan Tunku Ismail," katanya dipetik BH hari ini.
Pada 13 April lalu Tunku Ismail mencabar Khairy, FAM dan beberapa tokoh bola sepak negara untuk berdebat mengenai prestasi bola sepak negara.
Melalui perbincangan dengan pemilik kelab JDT itu juga, Khairy percaya ada skop kerjasama yang boleh diusahakan.