Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Ranieri dan kisah klasik masa depan Leicester City
Diterbitkan:  Apr 26, 2016 9:19 AM
Dikemaskini: 1:31 AM

Hanya satu kemenangan - itu yang diperlukan Leicester City untuk mengesahkan bahawa mereka adalah pasukan terbaik EPL musim ini selepas cabaran terdekat mereka, Tottenham Hotspur sekadar seri 1-1 dengan West Brom awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Jika ramuannya menjadi anak buah Claudio Ranieri boleh menggenggam kejuaraan Ahad ini - dengan syarat mereka mengalahkan Manchester United di Old Trafford.

Keputusan seri Spurs dan West Brom tadi membolehkan Leicester berada di tempat teratas dengan kelebihan tujuh mata.

Mengulas keputusan itu Pengurus West Brom, Tony Pulis berkata dia memang berharap Leicester akan muncul sebagai juara EPL kali ini.

"Leicester adalah sebuah kisah indah dan saya tidak fikir ia boleh berlaku di mana-mana kecuali di negara ini.

"Apa yang perlu mereka lakukan adalah memburu kemenangan dan saya yakin itulah yang sedang mereka lakukan. Ia sebuah kisah yang amat indah, tetapi ada banyak lagi yang perlu mereka buat," katanya.

Semua berniat baik

Ketika ini Leicester memang hanya selangkah lagi untuk menghasilkan sebuah kisah klasik sejak kelab itu ditubuhkan 132 tahun silam.

Sementara peminat sedang dilanda perasaan harap dan cemas, sesetengah penyokong The Foxes berasa ada sebab untuk mereka lega.

Di belakang Leicester tetap ada 'kuasa mistik' yang akan mendorong kelab itu menjadi yang terbaik bagi musim 2015/16 ini.

Hampir 10,000 kilometer dari Leicester ada Phra Prommangkalachan sedang melakukan rutin yang diyakininya dalam Wat Traimit dai Bangkok Thailand.

Las bendiciones budistas del monje Phra Prommangkalachan al @LCFC para ganar la #Premier ► https://t.co/zJcFfI4mQW pic.twitter.com/MZDQUK1cz5

— Eurosport.es (@Eurosport_ES) April 19, 2016

Kepada Sky News sami Buddha itu memberitahu Leicester adalah pasukan yang berazam tinggi untuk memenangi kejuaraan EPL kali ini.

"Jurulatihnya, pemainnya semua berniat baik untuk menjadi juara.

"Doa saya adalah sebahagian daripada itu - membantu menjayakan impian dan memberi galakan kepada mereka.

"Kami cuba menguruskan Leicester menggunakan kuasa Buddisme, kuasa Dhamma dan kuasa Sangha," katanya.

Bertemu Vichai

Walaupun berpangkalan di England, Leicester adalah kelab bola sepak yang dimiliki hartawan rangkaian kedai bebas cukai Thailand, Vichai Srivaddhanaprabha yang membelinya pada 2010.

Sebahagian pegawai atasan kelab itu juga diisi tokoh dari Thailand.

Kata Prommangkalachan sebelum ini dia tidak tahu apa-apa langsung mengenai bola sepak namun keadaan berubah selepas dia bertemu Vichai.

Apabila dia diminta mendoakan kejayaan Leicester atas jemputan Vichai, rupa-rupanya itulah kali pertama Prommangkalachan menyaksikan perlawanan bola sepak.

Sejak itu sudah beberapa kali Prommangkalachan bersama rombongan sami Buddha dari Thailand melawat Stadium King Power untuk memberi 'restu' kepada gelanggang berkenaan.

Mereka juga mengagih-agihkan azimat - bendera membawa logo kelab dihiasi ayat bertulisan purba - yang dipercayai dapat membawa tuah kepada pemain dan kelab Leicester.

Di watnya Prommangkalachan bangga menunjukkan dua azimat yang pernah diberi kepda kelab berkenaan dan kini digantung di rumah ibadat itu.

Ketika nasib Leicester belum dimeterai sebagai juara EPL, Prommangkalachan sedar apa yang mereka perlukan kini lebih daripada sekadar tuah.

"Musim ini belum tamat dan persaingan masih berterusan. Kita perlu tahu pelbagai keragaman dalam sistem peraturan dan pengurusan.

"Tugas kami para sami Buddha ialah menggalakkan semua pemain Leicester bertindak betul mengikut peratusan dan merangsang karma," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS