Pasukan hoki ais lelaki negara menampilkan aksi cemerlang untuk merangkul pingat perak dalam Divisyen satu Piala Cabaran Asia Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa (IIHF) yang berlangsung di Bishkek, Kyrgyzstan pada Khamis.
Pasukan dibawah bimbingan jurulatih Nikolas Sepponen, mencatatkan tiga kemenangan daripada empat perlawanan untuk memungut sembilan mata bagi mengulangi pencapaian pada kejohanan 2008 di Hong Kong.
Kyrgyzstan muncul sebagai juara keseluruhan selepas memenangi kesemua empat perlawanan kumpulan sementara Macau memperoleh gangsa dengan dua kemenangan dan tewas dua kali pada kejohanan itu yang menggunakan format round robin, menurut laman sesawang IIHF: website;www.iihf.com.
Malaysia memulakan cabaran dengan kemenangan 3-1 ke atas Qatar pada 9 April tetapi tumpas 5-9 kepada pasukan tuan rumah dua hari kemudian.
Skuad negara, bagaimanapun, bangkit daripada kekalahan dengan kemenangan 6-1 ke atas Macau pada 13 April sebelum membelasah India 11-1 sehari kemudian.
-Bernama