ADS

Mana lebih utama, wang tunai kemenangan yang kecil atau pemupukan semangat juang tinggi dalam kalangan bakat sukan termuda seperti yang dihasratkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Banyak ulasan berbeza dilemparkan di media sosial berhubung isu itu, namun bagi bekas atlet kebangsaan menyifatkan laluan mereka lebih sukar berbanding sekarang, namun hadiah wang ringgit bukan menjadi tarikan utama untuk mereka terus kekal mengukir nama di arena sukan antarabangsa.

Ia susulan hadiah kemenangan terlalu kecil untuk kategori bawah sembilan tahun Siri Pertama Junior Cycling Malaysia (JCM) di Serdang pada Sabtu lepas, anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjadi 'viral' di media sosial.

Bekas ratu gimnastik negara, Nurul Fatiha Abdul Hamid, finalis acara palang bertingkat Kejohanan Piala Dunia di Shanghai pada 2007, berkata di awal karier sebagai atlet ketika itu, beliau dan rakan-rakan atlet tidak terdedah dengan hadiah kemenangan yang bernilai tinggi serta sekadar mendapat elaun yang kecil, RM100 sebulan.

"Kami kaya dengan pek Milo dan sijil yang kadang-kadang kena taip nama sendiri," katanya, yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2003.

ADS

Pada ketika itu, katanya yang berlegar di fikiran adalah hasrat untuk mengharumkan nama negara serta demi kepuasan diri dengan mengetepikan keperitan yang dilalui.

"Kalau hendak cerita bab elaun, lagi sedih, RM100 sebulan walaupun bergelar atlet negara. Terbayang segala keperitan dan kepayahan bergelar atlet, memang fikir tidak berbaloi dengan kudrat.

"Tapi masa itu, fikir hanya untuk berjaya hendak harumkan nama negara dan kepuasan diri. Lagi pula, sukan gimnastik memang jarang ada pertandingan yang diberi hadiah wang kemenangan," katanya dalam entri laman Facebook semalam.

Nurul Fatiha berpandangan bahawa isu yang menjadi 'viral' itu tidak perlu diperbesarkan sebaliknya semua pihak perlu melihat kepada objektif sebenar penganjuran JCM.

"Niat yang penting, iaitu untuk pupuk lebih ramai kanak-kanak untuk bergiat dalam sukan, soal wang letak nombor dua kerana bila anda dah hebat dan bagus serta berjaya ke pentas lebih tinggi, wang dan kemasyhuran akan datang. Kita fikir positif sahaja," katanya.

Dalam pada itu, bekas atlet berbasikal lebuh raya negara Mohd Yusof Abdul Nasir berkata sejak dari awal penglibatan beliau dalam arena berbasikal, pemenang tidak menerima habuan lumayan.

Demi negara

Katanya, apa yang penting ketika itu adalah mencipta kemenangan sekali gus membolehkan mereka mewakili negara ke perlumbaan berprestij seperti Le Tour de Langkawi (LTdL) dan temasya sukan.

"Dulu, duit kemenangan dibahagi sama rata tidak kira siapa yang menang. Pernah satu ketika, abang Eja (Shahrulneeza Razali) seorang pelumba senior menang tapi kami juga dapat merasa wang kemenangan yang dibahagi setiap seorang RM10.

"Pada masa itu, yang ada dalam fikiran saya, untuk dipilih mewakili negara dan juga berkayuh demi bendera di dada," katanya kepada Bernama.

Mohd Yusof yang kini bertugas sebagai jurulatih Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Selangor (USPTNS) bagaimanapun turut mencadangkan agar hadiah wang tunai itu, ditukarkan dalam bentuk pemberian peralatan atau keperluan dalam sukan berbasikal.

ADS

"Mungkin ada yang tidak memahami sukan berbasikal, sebab itu terdapat komen sedemikian. Mungkin juga dengan perhatian sebegini, boleh membantu menarik penaja yang lebih banyak untuk penganjuran pada masa akan datang," kata atlet yang pernah mewakili negara ke Sukan SEA di Manila.

Sementara itu, jurulatih skuad berbasikal Johor, Mohd Firdaus Daud berkata isu hadiah wang tunai yang sedikit itu timbul kerana segelintir pihak yang lebih mementingkan hadiah berbanding kesan jangka panjang penganjuran program berkenaan.

"Dulu masa kejohanan seperti anjuran Sportexcel, memang tidak pernah dapat hadiah duit, cuma baru-baru ini sahaja ada hadiah wang tunai. Kalau dulu-dulu hadiah pingat dan Milo sahaja. Sebab itu bila menang banyak kali, dapat banyaklah Milo," katanya yang pernah menyertai skuad kebangsaan.

Mohd Firdaus berharap JCM akan mendapat sambutan lebih memberangsangkan di sebalik isu yang timbul berkaitan program itu, yang dijangka dilaksanakan di Ipoh dan Kelantan.

Bekas pelumba trek kebangsaan, Josiah Ng dalam entri Facebooknya turut berkata wang tidak seharusnya menjadi keutamaan dalam mencungkil bakat baharu dalam sukan.

"Ketika saya bergelar pelumba muda, saya hanya memberikan perhatian dua perkara. Berlumba dan menang. Wang mengalir ke poket saya bila saya banyak berlumba dan ia membolehkan saya bergelar juara.

"Saya juga menikmati kehidupan lebih baik sepanjang 15 tahun kerjaya dalam bidang lumba basikal. Bersyukurlah kerana JCM menganjurkan acara yang akan membantu anda menjadi pelumba lebih baik. JCM akan membantu untuk membentuk anda menjadi juara. Sebaik bergelar juara, wang akan datang!," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS