Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Tunku Ismail cabar Khairy, FAM berdebat
Diterbitkan:  Apr 13, 2016 12:24 AM
Dikemaskini: Apr 13, 2016 3:09 AM

Ayuh lakukannya untuk penyokong bola sepak kita, tegas Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mencabar Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berbahas mengenai prestasi bola sepak negara.

"Saya individu yang telus dan jujur, ini satu cabaran daripada saya. Saya bukan ahli politik dan tidak memerlukan sebarang undi.

"Saya tidak bercadang untuk menjadi presiden FAM dan seperti saya katakan sebelum ini, bola sepak bukan sumber pendapatan saya," katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Malah menurut pemilik JDT itu, sesi perbahasan itu juga diharap disiarkan secara langsung melalui syarikat penyiaran berbayar, Astro.

Tunku Ismail menggesa pihak Astro mengadakan siaran langsung perbahasan beliau bersama Khairy, wakil FAM, ketua jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee, Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia B Sathianathan.

"Ia untuk berbahas tentang siapa yang bertanggungjawab bagi prestasi buruk pasukan kebangsaan dan bola sepak Malaysia serta apa tindakan selanjutnya yang perlu dilaksanakan.

"Dalam program ini juga, mereka perlu membenarkan para penyokong untuk menyuarakan pendapat mereka dan menanyakan apa-apa soalan yang mereka mahu.

"Suara penyokong perlu menjadi keutamaan kerana kita berkhidmat kepada mereka dan penyokong mempunyai hak untuk mengetahui masalah sebenar bola sepak Malaysia," katanya.

Masalah sistem

Ahad lalu, beliau menggesa Khairy bertanggungjawab terhadap mutu bola sepak negara yang sebelum itu menyifatkan pemain tempatan kurang berkualiti susulan prestasi merosot pasukan kebangsaan.

Mengulas lanjut tujuan program itu dicadangkan, Tunku Ismail menegaskan beliau sudah penat dan bosan dengan pembohongan serta perkara yang cuba diselindungkan.

Sebagai putera diraja rakyat katanya, suara rakyat perlu didengari dan suara mereka adalah keutamaan beliau.

"Saya setuju bahawa mereka kurang (pemain) berkualiti. Tetapi kenyataan saya adalah siapa yang bersalah? Saya adalah seorang anggota tentera dan saya dilatih untuk menggalas tanggungjawab.

"Jika mana-mana anggota tentera kita tidak layak untuk menjalankan tugas mereka, siapakah yang bersalah? Ia adalah kesalahan kita.

"Jika pemain bola sepak kita kurang kualiti, siapa yang bersalah? Ia adalah sistem dalam persatuan bola sepak dan latihan oleh jurulatih kita," katanya yang memberi analogi anggota tentera dan pemain bola sepak.

Cukuplah berselindung

Tambah beliau, kualiti pemain pada penghujungnya bergantung kepada didikan dan latihan mereka seperti mana tentera

"Jadi hujah saya kita tidak perlu keluarkan kenyataan menyalahkan pemain. Sebaliknya, kita sebagai orang-orang besar dalam kelab bola sepak, persatuan dan jurulatih perlu bertanggungjawab.

"Ini dipanggil memikul tanggungjawab dan bukan sentiasa melarikan diri, menyalahkan pemain, FAM, persatuan bola sepak dan kelab," jelasnya.

TMJ turut mendakwa beliau terkejut apabila FAM tidak berminat memperbaiki masalah tersebut dengan mengadakan mesyuarat walaupun sudah mengetahui masalah sebenar.

"Itulah sebabnya dalam kenyataan saya ada menyebut tidak ada sesiapa yang benar-benar mengambil berat tentang bola sepak Malaysia kecuali saya.

"Sama ada anda suka atau tidak, saya akan terus berjuang menentang mana-mana rejim yang korup. Anda sepatutnya berdiri bersama dan menuntut perubahan.

"Cukuplah dengan segala perkara-perkara yang cuba diselindungkan," pesan beliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS