Tiba-tiba Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) memanggil wartawan untuk mengadakan sidang media di negeri itu hari ini.
Tiba-tiba juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat catatan tentang pemain bola sepak Pulau Pinang.
Semuanya kerana sentuhan berbisa Faiz Subri di Stadium Bandaraya di George Town malam tadi yang mengejutkan peminat bola sepak.
"Hebat gol freekick (tendangan percuma) Faiz Subri, khabar mengenainya sampai ke Amerika.
"Saya ada lihat klip (video) tendangan percuma itu, memang cantik," katanya melalui akaun Twitter sebentar tadi.
Najib dalam kenyataan itu turut memuat naik rakaman tendangan luar biasa penyerang skuad Harimau Kumbang berkenaan.
Seperti selalu kemas kini akaun perdana menteri segera mendapat reaksi pengikutnya yang bermacam ragam, termasuk bersifat sinikal.
Antaranya @HafizRayyan yang menulis: @NajibRazak Rembatan you lagi power menerjah 1 Malaysia kena GST dan lencongan tersebut menuju ke Amerika diberitakan kisah skandal 1MDB!
@SyamilHanafi pula menulis: @NajibRazak tuan pun pandai freekick. Sekali sepak 1.5 juta bangla masuk gol (Malaysia).
Bagi @suhanaujang catatan Najib dibalas dengan pantun empat kerat: Sorong papan tarik papan, buah keranji dlm perahu; buat janji beri harapan, dah menang buat tak tahu. #MalaysiaTakLupa
@NajibRazak rembatan ni pula dengar khabar mahsyur hingga ke Arab Saudi. pic.twitter.com/1UeCLi73D6
— Khairil Anuar (@KhairilAnuar) February 17, 2016
Sementara itu Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz turut menyampaikan tahniah kepada Faiz.
"Tahniah Faiz Subri! Incredible free kicks ever.. (tendangan bebas paling luar biasa)" tulis Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Seperti Najib kenyataan Nik Abduh mendapat pelbagai ragam respons. Antaranya Saifullah Jusoh yang menulis: Caro ko bola jah (Asyik hal bola saja). Parlimen senyap. Ayat puok (puak) PAN. Tengok la pahni puok2 (selepas ini puak-puak) tu mari. Haha".
Iela Fadila pula memberi komen: "Ustaz.. tunggu jap lagi sampai la tu geng tu.. hahahaha".
Ayat itu dipercayai merujuk kepada pengkritik Nik Abduh yang diramal akan datang beramai-ramai ke akaun Facebooknya untuk menulis komen.
Sementara itu Presiden FAP Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff jam mengadakan sidang media khas di Pulau Pinang petang ini.
Malaysiakini akan mengemas kini perkembangan sidang media berkenaan seketika nanti.