Tidak seperti kebanyakan pasukan lain, sesi memperkenalkan pemain serta pelancaran rasmi jersi pasukan Kedah berlangsung seolah-olah 'dalam kelambu'.
Tiada acara gilang-gemilang, tanpa pengumuman meriah apa lagi klip video yang mempersona , skuad Helang Merah memilih Facebook saja untuk memperkenalkan pemain mereka bagi musim ini.
Menggunakan rakaman video pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) juga memperkenalkan jersi yang akan disarung pemain Helang Merah sepanjang Liga Super kali ini.
Perkembangan itu berlaku ketika jawatan Presiden KFA kini dipegang Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Bagai jatuh ditimpa tangga , selepas kehilangan presiden kegemaran ramai skuad hijau kuning itu kemudian dilanda krisis penajaan.
Sekurang-kurangnya dua syarikat iaitu D'Herbs Holding (M) Berhad dan sebuah syarikat bas dilaporkan membatalkan hasrat menaja juara Liga Perdana musim lalu itu.
Malah sebuah bas yang sepatutnya digunakan untuk membawa pemain dan pegawai KFA kini didakwa dijadikan bas ekspres saja.
Tiga warna Kedah
Melalui Facebook Kedah FA, pengurusan media KFA memuat naik gambar barisan pemain mereka yang menggayakan tiga jersi 2016.
Menurut sumber, sebelum berlakunya krisis kepimpinan Kedah KFA merancang majlis besar-dirancang untuk meraikan peminat mereka.
"Cadangan sebelum ini, majlis akan diadakan di Aman Central Mall Alor Setar. Dengan majlis terbuka, KFA mahu memberi peluang kepada peminat beramah-mesra dengan barisan pemain.
"Sekarang tidak tahu apa yang berlaku, menteri besar pun baru sekali turun padang berjumpa dengan pemain. Sebagai penyokong kita agak kecewalah," katanya kepada Malaysiakini .
Tambahnya, sebagai pasukan berjaya bangkit dari Liga Perdana ke Liga Super pihak pengurusan KFA khususnya presiden harus sedar sentimen sokongan rakyat kepada pasukan itu.
"Pasukan lain semua buat majlis besar-besaran, hargai penyokong dan bangkitkan semangat penyokong menjelang musim baru.
"Cara KFA yang sekadar melancarkan jersi secara rakaman video nampak seperti 'pengecut' untuk berdepan dengan peminat," katanya.
Sementara itu, melalui jersi yang diperkenalkan hari ini pasukan Kedah akan tampil dengan tiga jersi berwana hijau untuk di gelanggang sendiri, kuning (di gelanggang lawan) dan putih (jersi ketiga).
Barisan nama penaja turut dipamerkan pada jersi tersebut antaranya, Discover Kedah, Warrix, PKNK (Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dan Sada (Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd).
Sepak mula Liga Super 2016 Sabtu ini akan menyaksikan skuad bimbingan jurulatih Tan Cheng Hoe itu berdepan Felda United di Jengka, Pahang.
Pelancaran Kit Rasmi Skuad Liga Super Kedah Musim 2016!PULUN KEDAH PULUN!Kit HOME (kuning), AWAY (hijau) dan THIRD...
Posted by Kedah FA - Persatuan Bolasepak Kedah - on Wednesday, 10 February 2016