Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah digesa membuktikan kewibawaan beliau dengan mengembalikan penaja pasukan bola sepak negeri itu.

Presiden Kelab Penyokong Hijau Kuning, Nor Hasmadi Hamzah, berkata sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang baru, Ahmad Bashah perlu menyelamatkan keadaan buruk yang melanda persatuan itu.

"Sekurang-kurangnya sudah dua syarikat sudah menarik diri daripada menjadi penaja Kedah musim ini selepas krisis dan pertukaran menteri besar.

"Bagi penyokong tegar rata-rata berasa bimbang dengan keadaan ini. Setiap hari ada sahaja khabar angin mengatakan penaja Kedah tarik diri," katanya kepada Malaysiakini .

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan pengasas syarikat kosmetik D'Herbs Holding (M) Berhad, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman membatalkan hasrat menaja pasukan Kedah selepas pengunduran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar dan presiden KFA.

‎Nor Hasmadi berkata, pihaknya meminta Ahmad Bashah menjadi penyelamat keadaan dengan mencari penaja baru atau memujuk kembali penaja sedia ada.

"‎Sekarang ini kita berada di landasan yang cukup baik untuk menuju ke arah kejayaan yang gemilang seperti yang pernah kita capai sebelum ini.

"Justeru, pengalaman sahaja mungkin tidak cukup tapi kerjasama , kemampuan pemain dan yang paling penting sekali adalah wang ringgit iaitu penajaan" katanya.

Sementara itu difahamkan, selain D'Herbs sebuah syarikat pengangkutan yang sebelum berhasrat menaja sebuah bas buat pasukan Kedah disahkan membatalkan hasrat mereka.

"Saya dimaklumkan, walaupun bas tersebut sudah siap diubahsuai untuk kegunaan KFA. Tetapi akhirnya penaja tarik diri, bas itu kini dijadikan bas ekspres," jelas Nor Hasmadi.

Selain itu, tambah beliau sebuah syarikat yang ingin menaja kos baikpulih dan penyelenggaraan Stadium Darul Aman juga mungkin membatalkan hasrat mereka.

Untuk rekod Kedah melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun lalu sebelum langkah mereka cuba merangkul kejuaraan paling berprestij sukan bola sepak negara itu disekat Selangor.

Sementara itu semalam Ahmad Bashah turun sendiri ke padang untuk melihat dari dekat pemain pasukan Helang Merah berlatih menghadapi cabaran musim 2016 yang akan bermula tidak lama lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS