Impian pengasas syarikat kosmetik Qu Puteh, Datuk Seri Hasmiza Othman, untuk melihat Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, dicat dengan warna merah jambu bakal terlaksana.
Namun, apa yang lebih penting bagi Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu, pembaharuan terhadap infrastruktur tersebut direalisasi mengikut cita rasa beliau.
"Saya berharap ia dapat menterjemahkan apa yang saya inginkan," katanya kepada Malaysiakini .
Terdahulu, selaku penaja terbesar pasukan bola sepak Kelantan, Hasmiza meletakkan dua syarat utama kepada Kafa iaitu untuk mewarnai stadium tersebut dengan warna kegemarananya itu.
Syarat kedua pula nama The Red Warriors didahulukan dengan "Pamoga Qu Puteh" iaitu nama produk syarikat Vida Beauty Sdn Bhd miliknya.
Hasmiza atau lebih mesra dengan panggilan Datuk Vida berkata, beliau menyerahkan kerja mengecat stadium itu kepada Kafa sepenuhnya melalui kontraktor yang telah dilantik.
Vida sebelum ini menaja pasukan negeri kelahiran beliau itu dengan jumlah tajaan RM16 juta membabitkan dua musim sehingga 2017.
Sementara itu, gelanggang keramat Qu Puteh TRW dilaporkan mula diselenggara untuk kerja-kerja pembersihan oleh syarikat dilantik iaitu, Impian Berkat Trading.
Pengarahnya, Mohd Halizan Ab Halim berkata, pihaknya menggunakan tenaga kerja sekitar 50 orang untuk menyiapkan wajah baru Stadium Sultan Muhammad IV.
"Kita diberi tempoh sehingga 11 Februari depan sebelum bermulanya saingan Liga Super 2016 untuk menyiapkan sepenuhnya stadium ini dengan pilihan warna merah jambu dan putih.
"Konsepnya adalah reka bentuk "petak-petak" yang berselang-seli antara warna pink dan putih. Ia melibatkan keseluruhan struktur bangunan di bahagian luar dan dalam stadium," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ditanya cabaran dihadapi dalam kerja tersebut, Mohd Halizan berkata, pihaknya terpaksa membuat tempahan khas cat yang akan digunakan daripada kilang pengeluar cat.
"Kita dimaklumkan cat akan sampai pada Selasa atau Rabu depan, sementara itu kami melakukan kerja pembersihan dan mengecat pagar bahagian dalam stadium," katanya.
Selain itu menurut beliau, turut menjadi cabaran apabila tempoh yang diberikan oleh Kafa agak singkat.
"Insya-Allah saya yakin kita boleh siapkan dalam tempoh tersebut walaupun mungkin agak terkejar-kejar sedikit," jelasnya.