Selepas merealisasikan hasratnya untuk menjadi penaja utama pasukan bola sepak Kelantan, pengasas produk Qu Puteh, Datuk Seri Hasmiza Othman dilihat semakin teruja dengan misinya membawa perubahan besar kepada skuad The Red warriors (TRW).
Terbaru, Hasmiza berkongsi gambaran Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu yang bakal dicat dengan warna merah jambu seperti diidamkannya.
"Doakan semoga saya dapat realisasikan signature of Kelantan , Pamoga Qu Puteh - The Red Warriors," tulis beliau pada kapsyen gambar tersebut, malam tadi.
A photo posted by Dato Seri Dr. Hajah Vida (@datoserivida) on
Malaysiakini semalam melaporkan, Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa mengesahkan pihaknya bersetuju dengan tajaan dan syarat diletakkan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu untuk menjadi penaja Kelantan.
Hasmiza sebelum ini meletakkan dua syarat kepada Kafa iaitu menukar warna stadium dengan merah jambu dan nama pasukan didahului dengan perkataan "Pamoga Qu Puteh".
Bagaimanapun, selain dua syarat tersebut Hasmiza turut mengemukakan 33 lagi syarat tambahan kepada Kafa dan ia dipersetujui bersama selepas kedua-dua pihak berbincang.
"Semoga impian dan usaha ini bakal menyemarakkan semangat untuk melihat aksi pemain dan berpesta Sekeluarga.
"Sihat, cantik, Pamoga Qu Puteh di Stadium Sultan Muhammad IV, amin," katanya yang lebih popular dengan gelaran Vida.
Sementara itu difahamkan, Hasmiza memperuntukkan sejumlah RM1 juta dana dengan tujuan mengubahsuai gelanggang keramat TRW termasuk dicat semula dengan warna pilihan jutawan kosmetik kelahiran Machang, Kelantan itu.
Selain itu, majlis menandatangani kontrak rasmi antara Vida Beauty dan Kafa bakal diadakan pada 15 Januari ni di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Melalui penajaan dua tahun syarikat kecantikan itu, Kafa bakal menikmati dana berjumlah RM16 juta di samping faedah-faedah lain yang belum diumumkan penaja tersebut.