Salah sebuah kelab peminat bola sepak Selangor, Anak Selangor Fans Club (ASFC) menyifatkan kewujudan kain rentang "Undur Najib" pada perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu lalu mungkin dibawa kumpulan taksub politik.
Presidennya, Mohd Faizal Wahid berkata, kemunculan kain rentang tersebut sepatutnya tidak berlaku kerana ia cubaan mempolitikkan sukan.
"ASFC telah bertindak dengan menyiasat mengenai kewujudan kain rentang tersebut di kalangan ahli-ahli kami.
"Kami dapati ia bukan datang daripada ahli ASFC," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Namun jika selepas ini didapati kain rentang itu didalangi ahli ASFC, Mohd Faizal berkata, mereka akan dikenakan tindakan.
Katanya, dalam sukan dan berpersatuan seseorang watar mengetepikan ideologi politik dan meraikan sukan itu sendiri.
Pada perlawanan di Stadium Shah Alam itu, satu kain rentang putih dengan tulisan hitam itu dikatakan muncul di tempat duduk penyokong Selangor.
Isu sedang hangat
Tindakan mempamerkan tulisan itu bagaimanapun tidak dibuat sepanjang perlawanan berlangsung, sebaliknya hanya ketika lagu Negaraku dimainkan sebelum aksi final tersebut.
Mengulas perkara itu, Mohd Faizal berkata, tindakan mendesak Najib berundur - seperti dibuat secara terbuka pelbagai pihak, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - sepatunya tidak perlu dibawa ke dalam sukan.
"Sukan adalah medan penyatuan, bukan untuk cetuskan kontroversi.
"Pihak berkenaan mungkin mahu ambil perhatian kerana di stadium dan pada perlawanan akhir itu menjadi tumpuan," katanya.
Terdahulu, gambar kain rentang tersebut menjadi viral di laman sosial dan turut mendapat perhatian di kalangan tokoh politik negara.
Antaranya Dr Mahathir sendiri yang mempersoalkan kenapa beliau seorang disiasat kerana ucapan dan kenyataannya dalam blog kerana mendesak pengunduran Najib.
Katanya, gesaan itu bukan dibuat oleh beliau seorang, sebaliknya ramai lagi, termasuk penyokong pasukan Kedah dan Selangor dalam perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru ini.
Mohd Faizal berkata, kain rentang itu juga mungkin dinaikkan kerana isu Najib sedang hangat diperkatakan.
"Ia pastinya dilakukan oleh mereka yang begitu taksub dengan isu politik negara," katanya.
