Bintang Manchester United, Wayne Rooney menghargai reaksi penyokong England pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Perancis, awal pagi semalam, apabila penonton bersatu menunjukkan simpati terhadap insiden pengeboman Paris pada Sabtu lalu.
Pada perlawanan itu, penyokong England turut menyanyikan lagu kebangsaan Perancis La Marseillaise, sebelum perlawanan bermula.
"Penyokong bertindak bijak. Ini menunjukkan bola sepak adalah permainan global," kata Rooney selepas membantu pasukan England menewaskan Perancis 2 - 0 di Stadium Wembley.
Perlawanan itu diadakan beberapa hari selepas Paris digegarkan oleh serangan bom dan mesingan yang menyebabkan 129 orang maut.
Malah salah satu tempat serangan itu adalah Stede de France yang menjadi lokasi perlawanan persahabatan antara Perancis dengan Jerman.
Memetik kata Pengurus Perancis, Didier Deschamps, Rooney berkata, bola sepak bukanlah persoalan mengenai agama atau kaum.
"Kita perlu bersatu ketika diuji," katanya.
Sebelum perlawanan bermula, Rooney - sebagai ketua pasukan England - bersama Hugo Lloris meletakkan karangan bunga di padang sebagai tanda simbolik memperingati mangsa serangan bom di Paris.